Malaysia bertindak balas kepada krisis kesihatan secara menyeluruh dan tepat pada masa

Malaysia bertindak balas kepada krisis kesihatan secara menyeluruh dan tepat pada masa

KUALA LUMPUR,. Malaysia bertindak balas kepada krisis kesihatan global dan menyelaraskan kejutan ekonomi di seluruh dunia secara menyeluruh, tekad dan tepat pada masa, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Memetik Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM260 bilion yang dilancarkan baru-baru ini beliau berkata, ia menggariskan tiga teras utama iaitu melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi.

“Langkah-langkah kesihatan awam, fiskal, monetari dan kewangan PRIHATIN bertujuan untuk melindungi kehidupan dan kumpulan berpendapatan rendah dalam masyarakat, mengurangkan tekanan aliran tunai perniagaan dan memelihara pekerjaan.

“Secara kolektifnya, langkah-langkah rangsangan ekonomi Malaysia dijangka menambah 2.9 mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2020 negara, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengesahan Penarafan Mungkir Penerbit Mata Wang-Asia Jangka Panjang Malaysia (IDR) pada ‘A-’ oleh Fitch Ratings hari ini tetapi ia menyemak semula prospek kepada ‘negatif’ daripada ‘stabil’. ’

Fitch, bagaimanapun, mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus pada 2021.

Menurut Tengku Zafrul, di seluruh dunia, negara-negara mengambil langkah fiskal dan monetari yang besar bagi menangani impak ekonomi daripada pandemik COVID-19.

“Juga diperhatikan bahawa prospek penarafan negara bagi beberapa ekonomi, maju dan juga sedang pesat membangun, juga diturunkan,” katanya.

Meskipun justifikasi adalah unik bagi setiap negara, beliau berkata semakan semula prospek penarafan negara-negara ini mencerminkan prospek pertumbuhan dan kedudukan fiskal yang lemah berbanding tempoh sebelum krisis kesihatan.

Menurutnya, walaupun perbelanjaan fiskal yang besar dalam pakej rangsangan ekonomi, komitmen kerajaan kepada disiplin fiskal tetap kukuh.

“Bagi memastikan implikasi jangka sederhana yang terhad kepada kewangan awam, langkah-langkah yang diperkenalkan adalah sekali dan bersifat sementara,” katanya sambil menambah langkah-langkah ini adalah perbelanjaan bukan berulang dan usaha konsolidasi fiskal akan disambung semula apabila keadaan ekonomi kembali stabil.

Tengku Zafrul memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menumpukan kepada pembaharuan tadbir urus dan struktur bagi mengukuhkan kembali ekonomi negara.

Menurutnya, kerajaan terus komited kepada agenda pembaharuan bagi memastikan tadbir urus yang mantap, mengukuhkan institusi dan memerangi rasuah selain meneruskan inisiatif sedia ada dengan penubuhan Pejabat Pengurusan Hutang dan enakmen Akta Tanggungjawab Fiskal pada 2021.

“Strategi fiskal jangka sederhana akan disenaraikan dalam Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan yang akan dikeluarkan bersama-sama dengan Belanjawan 2021 pada Oktober 2020,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )