MAZPA Rayu Bantuan Untuk Hidupan Liar  Zoologi Swasta

MAZPA Rayu Bantuan Untuk Hidupan Liar Zoologi Swasta

KUALA LUMPUR,. Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (MAZPA), memohon kerajaan melihat nasib taman-taman zoologi swasta dan menyediakan bantuan serta sokongan kewangan, bagi membolehkan mereka terus bertahan selain memastikan kebajikan hidupan liar, terus terjamin.

Naib Pengerusi MAZPA Gerard Wong Woon See berkata, MAZPA amat khuatir andainya bantuan tidak ada dalam keadaan yang memerlukan ini, bilangan taman-taman zoologi swasta akan berkurangan.

“Hidupan liar tersenarai di bawah perkhidmatan perlu semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, yang membolehkan taman-taman zoologi untuk tetap menitikberatkan penjagaan hidupan liar, walaupun semasa PKP.

“Hidupan liar tetap diberi makan dan diuruskan oleh pekerja mengikut waktu bekerja seperti biasa. Walaupun taman-taman zoologi milik swasta ini berjanji untuk terus memberikan yang terbaik dalam penjagaan kebajikan hidupan liar meskipun sewaktu krisis ini, simpanan yang berbaki adalah sangat terhad,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata sebagai persatuan yang cakna, MAZPA sangat bimbang terhadap ahli-ahlinya, terutama mereka yang terdiri daripada taman zoologi swasta, termasuk yang telah beroperasi lebih 30 tahun.

Antara ahli-ahli dari taman zoologi swasta yang terjejas teruk ialah Taman Burung Pulau Pinang; Penang Entopia; Langkawi Widllife Park; Selangor Farm In The City; Zoo Mini Menara Kuala Lumpur; A Famosa Safari Wonderland; Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka; dan Taman Buaya dan Rekreasi Melaka.

Wong berkata, kebanyakan daripada taman zoologi swasta itu terlibat dengan penyelidikan, pembiakan dan usaha konservasi hidupan liar, dan pelaburan banyak digunakan untuk membina makmal, menjalankan penyelidikan, mengupah dan melatih staf makmal, doktor veterinar serta ahli zoologi, kesemuanya melibatkan kos yang sangat besar.

Beliau berkata, selain itu, taman-taman zoologi swasta juga sering menjadi rakan kongsi dalam usaha konservasi bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), untuk menjamin kebajikan hidupan liar dalam industri zoologi, dan berkongsi maklumat penting dalam program konservasi berkaitan spesies hidupan liar, yang hampir pupus di Malaysia.

“Contohnya, A Famosa Safari Wonderland yang mempunyai 19 ekor harimau jenis ‘Malayan Tiger’, sentiasa menjadi rakan kongsi yang sangat penting dalam memelihara kelompok gen untuk spesies itu,” katanya.

Wong berkata, dengan membantu taman-taman zoologi ini untuk terus bertahan di saat penularan COVID-19 dan kemelesetan ekonomi dunia, kerajaan dapat memastikan bahawa kebajikan hidupan liar di dalam taman zoologi terus terjamin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )