
MAHKAMAH RAYUAN BENAR PENANGGUHAN PENDENGARAN BUKTI TAMBAHAN KES SOLAR ROSMAH
PUTRAJAYA,. Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan pendengaran bukti tambahan daripada saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli membenarkan permohonan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan pihak responden (Rosmah) tidak membantah permohonan berkenaan.
“Atas persetujuan kedua-dua pihak, kami membenarkan permohonan penangguhan terhadap perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 1 Sept sehingga rayuan pendakwa raya dilupuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Kami berharap agar pihak-pihak akan memaklumkan Mahkamah Tinggi keputusan Mahkamah Persekutuan sebaik sahaja keputusan itu disampaikan bagi memudahkan pengurusan kes di Mahkamah Tinggi. Mahkamah menetapkan 7 Okt ini untuk pengurusan kes secara e-Review dan melapangkan pendengaran rayuan utama yang ditetapkan pada Oktober ini,” katanya yang bersidang bersama Hakim Datuk Dr Choo Kah Sing dan K. Muniandy.
Pada 1 Sept, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berhubung kes berkenaan.
Panel tiga hakim itu turut memerintahkan bukti tambahan melibatkan saksi pendakwaan ke-16, ahli perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi dalam tempoh dua minggu.
Terdahulu, Mohd Asnawi berkata hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi.
“Namun, pada pagi ini, pihak-pihak berbincang dan kami dimaklumkan responden tidak membantah permohonan penangguhan pelaksanaan perintah mahkamah terdahulu sehingga rayuan pendakwa raya di Mahkamah Persekutuan didengar dan diputuskan. Untuk makluman mahkamah, kami memfailkan notis rayuan pada 4 Sept lepas,” katanya mengendalikan kes itu bersama TPR Datuk Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mewakili Rosmah mengesahkan bahawa pihak mereka tidak membantah terhadap permohonan tersebut.
“Saya sahkan terdapat perbincangan serius mengenai permohonan ini. Memandangkan bukti baharu itu membabitkan saksi penting kes berkenaan dan pihak pendakwaan sendiri telah memberi jaminan akan mempercepatkan prosiding rayuan di Mahkamah Persekutan, kami tidak mempunyai bantahan.
“Demi kepentingan kedua-dua pihak, adalah wajar agar rayuan di Mahkamah Persekutuan didengar dan diputuskan terlebih dahulu,” katanya yang memaklumkan pihak-pihak terlibat akan menghadiri prosidng kes itu di Mahkamah Tinggi pada petang ini untuk memaklumkan status kes di Mahkamah Rayuan.
Rosmah, 74, memohon untuk mengemukakan bukti tambahan yang terdiri daripada laporan polis dan akuan berkanun yang disahkan Rayyan Radzwill.
Dalam akuan berkanun itu, Rayyan Radzwill antara lain mendakwa wujud tekanan pendakwaan ketika perbicaraan serta mengemukakan bahan dokumentari bagi mencabar kredibiliti keterangannya.
Pada 1 Sept 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.
— BERNAMA
