
MAHA 2026: LAMAN VETERINAR PAMER 911 HAIWAN TERNAKAN, PELBAGAI AKTIVITI INTERAKTIF
KUALA LUMPUR,. Sebanyak 911 haiwan ternakan pelbagai spesis dan baka bakal dipamerkan di Laman Veterinar bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor dari 28 Ogos hingga 6 Sept.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata selain mempamerkan pelbagai jenis ternakan, Laman Veterinar turut mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi pengalaman kepada pengunjung mengenai bidang veterinar serta industri ternakan.
“Yang paling menarik, kita ada menggunakan teknologi realiti maya (VR) dalam permanian beradas, bagaimana ia dijalankan oleh kakitangan kita melalui pengalaman VR kepada pengunjung.
“Kita juga ada pelbagai demonstrasi berkaitan dengan bidang tugas dan profesionalisme pegawai veterinar. Jadi, apa yang kita nak tonjolkan ialah peranan, tanggungjawab, juga apa yang menarik dalam bidang veterinar ini,” katanya ketika menjadi tetamu “Apa Khabar Malaysia” terbitan Bernama TV hari ini.
Dr Mohd Noor Hisham berkata Laman Veterinar turut dibahagikan kepada beberapa segmen antaranya Smart Farming and Livestock Technology, Agro Food Fiesta dan Pet Valley.
Beliau berkata segmen Smart Farming and Livestock Technology akan mengetengahkan teknologi ternakan dan pertanian dengan penglibatan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta pengusaha industri.
Mengenai segmen Agro Food Fiesta, Dr Mohd Noor Hisham berkata ia memberi tumpuan kepada industri asas ternakan menerusi pameran produk berasaskan ternakan yang dihasilkan opengusaha industri berkenaan.
Pet Valley pula dijangka menjadi segmen yang menarik perhatian terutamanya kanak-kanak menerusi pertunjukan anjing serta petting zoo.
“Kita mahu ketengahkan satu bentuk pameran yang lebih interaktif kepada pengunjung, bukan sahaja pameran statik tetapi memberi pengalaman kepada pengunjung,” katanya.
MAHA 2026 bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan” akan berlangsung dari 10 pagi hingga 10 malam bermula Jumaat ini.
— BERNAMA
