Lima peniaga ayam diberi notis

Lima peniaga ayam diberi notis

KUANTAN,. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengeluarkan notis kepada lima peniaga ayam di Pasar Besar Kuantan, untuk mengemukakan alasan berkaitan kenaikan harga ayam lebih RM10 sekilogram (kg) yang dikesan.

Mereka diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan maklumbalas notis berkenaan berserta dokumen sokongan dan sekiranya gagal, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata harga ayam di peringkat runcit sebelum ini antara RM7.99 hingga RM10 kilogram (kg), namun sejak beberapa hari lalu ia meningkat lebih RM10.

Katanya, selepas menerima aduan pengguna pihaknya segera membuat pemeriksaan di premis runcit menjual ayam termasuk di Pasar Besar Kuantan.

Beliau berkata, kenaikan harga ayam secara mendadak itu ternyata memberi kesan kepada pengguna termasuk peniaga.

“Sekiranya benar golongan terbabit cuba mengambil kesempatan menaikan harga ayam tanpa sebarang alasan kukuh mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Pihak terbabit perlu memikirkan bebanan yang terpaksa dihadapi pengguna kerana ayam adalah antara makanan utama masyarakat negara ini, perbuatan menaikan harga sesuka hati tidak seharusnya berlaku.

“KPDNHEP Pahang akan mendapatkan maklumat daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang bagi mengenal pasti, bekalan ayam samada stabil atau sebaliknya,” katanya, di sini hari ini.

Ahmad Fitri berkata, sebelum ini lapan notis dikeluarkan membabit empat pemborong dan dua peladang di daerah ini serta dua pemborong di Temerloh. Mereka diarah untuk mengemukakan alasan dalam masa ditetapkan.

Katanya, sekiranya terbukti bersalah mereka akan didakwa mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, yang membawa hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan kedua didenda RM250,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kita tidak akan berkompromi dengan peniaga, pemborong dan pemilik ladang yang bertindak sesuka hati menaikan harga ayam tanpa sebarang alasan kukuh.

“Jangan kerana inginkan keuntungan lebih pada mereka sesuka hati menaikan harga, akibatnya pengguna yang terbeban,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )