Banyak boleh dilakukan untuk perkukuh hubungan dengan Singapura

Banyak boleh dilakukan untuk perkukuh hubungan dengan Singapura

SINGAPURA,. Banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh pasca COVID-19 untuk memperteguh hubungan dua hala Singapura-Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang baharu Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.

Belia berkata hubungan dua hala dengan Singapura sangat komprehensif dan merangkumi keseluruhan spektrum ekonomi, sosial, dan budaya.

Azfar menjangkakan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua negara akan pulih apabila ancaman COVID-19 berkurangan malah kedua-dua pihak juga sedang mempergiat usaha vaksinasi.

Daripada segi dagangan, beliau mengakui jumlahnya kini rendah tetapi aliran barang dan bekalan tidak pernah berhenti sepanjang pandemik ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, eksport utama ke Singapura pada suku kedua 2021 adalah elektrik dan elektronik (E&E), serta produk berasaskan petroleum dan getah.

“Pelancongan terjejas ketika ini, namun bukan hanya antara Malaysia dan Singapura tetapi di seluruh dunia,” katanya.

Ketibaan pelancong antarabangsa Malaysia pada 2020 menurun kepada 4.33 juta orang berbanding 26.1 juta pada tahun sebelumnya. Antara ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia yang tertinggi adalah dari Singapura dengan 1.55 juta orang.

Menyentuh isu dua hala yang masih belum selesai seperti ruang udara dan maritim, Azfar berkata perbincangan telah dilakukan di peringkat kumpulan kerja.

“Perbincangan mengenai ruang udara dan isu maritim masih berterusan tetapi melalui platform maya kerana COVID-19.

“Namun, membincangkan isu sensitif dan penting seperti ruang udara dan maritim melalui platform maya tidak sama seperti mesyuarat secara fizikal.

“Oleh itu, kami menantikan pembukaan sempadan supaya agensi yang berkaitan dapat meneruskan perbincangan mereka.

“Ketika pandemik COVID-19, tumpuan adalah pada masalah kesihatan dan menangani masalah COVID kerana ramai rakyat Malaysia terkandas di sini,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau menangani pelbagai soalan daripada komuniti diplomatik di sini yang berkaitan dengan perkembangan politik di Malaysia, Azfar berkata ahli politik di Malaysia cukup matang untuk meletakkan kepentingan negara mengatasi perkara lain.

“Singapura adalah jiran terdekat kita dan rakan penting untuk dagangan dan ekonomi. Segala perkembangan politik di Malaysia akan menarik perhatian kerajaan Singapura, rakyatnya dan tentunya diplomat di Singapura.

“Saya melihatnya sebagai tanda demokrasi yang matang di Malaysia. Perubahan dalam pemerintahan telah dilakukan mengikut elemen perlembagaan. Jadi ia bukan sesuatu yang dilakukan secara tidak sah,” katanya.

Azfar berkata Perdana Menteri Lee Hsien Loong telah menghubungi rakan sejawatnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Lee mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri dan mengundangnya untuk lawatan rasmi ke Singapura.

“Ketika banyak pihak di Singapura mengikuti rapat perkembangan di Malaysia, namun setakat ini kita berada dalam keadaan yang baik,” katanya.

Azfar, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke-17 ke Singapura menyerahkan watikah pelantikannya kepada Presiden Halimah Yacob pada Selasa (31 Ogos).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )