Lebih separuh calon PRN Sabah hilang deposit

Lebih separuh calon PRN Sabah hilang deposit

KUALA LUMPUR,. Seramai 275 daripada 447 calon yang bertanding pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah hilang wang deposit apabila gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Seramai 172 calon lain kalah tetapi tidak hilang deposit.

Antara mereka yang hilang deposit ialah pertandingan 11 penjuru di DUN Bengkoka yang menyaksikan paling ramai calon hilang wang deposit apabila lapan calon memperoleh kurang daripada satu per lapan daripada undian keseluruhan.

Calon yang hilang deposit ialah Jose Modsinupu (Parti Cinta Sabah (PCS)), Samuil Mopun (Parti Bersatu Sabah(PBS)), Sotijin Juhui (Parti Gagasan Rakyat Sabah(Gagasan)), Rita Cham (Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS)), Omar Jalun (Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO)) serta tiga calon Bebas iaitu Pransol Tiying, Mary E. [email protected] Ambros, Akian Ah Kiew.

Manakala, dua pemimpin utama Parti Liberal Demokratik (LDP) iaitu Presiden Kehormat Seumur Hidup LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat dan Presidennya Datuk Chin Su Phin turut hilang deposit masing-masing di DUN Inanam dan Api-Api.

Chong kecundang dalam pertandingan 10 penjuru yang menyaksikan enam lagi calon lain yang bertanding di kerusi berkenaan hilang wang pertaruhan iaitu Terence Tsen Kim Katt (Parti Kerjasama Anak Negeri), Mohd Hardy Abdullah @ Zoro Yukon (USNO), Regina Lim @ How (PCS), Goh Fah Shun (Gagasan) dan dua calon Bebas iaitu Ngui Kuang Kee @George Ngui dan Achmad Noorasyrull Noortaip.

DUN Api-Api, yang menyaksikan pertandingan sembilan penjuru, enam calon lain selain Chin hilang wang deposit iaitu Lo Yau Foh (PPRS), Chong Tze Kiun (Gagasan), Pang Yuk Ming (PCS) dan tiga calon Bebas iaitu Marcel Jude dan Sim Sie Hong dan Ng Chun Sua.

PRN Sabah turut menyaksikan calon Warisan, Phoong Jin Zhe yang bertanding di DUN Luyang, memperoleh jumlah undi terbanyak iaitu 15,510 undi, menewaskan lima lagi pencabarnya yang kesemuanya hilang wang deposit.

Manakala Rina Jainal, juga calon Warisan menang dengan majoriti paling kecil, iaitu mendahului hanya dengan 10 undi berbanding pencabar terdekatnya Chaya Sulaiman yang memperoleh 2,824 undi dalam pertandingan tujuh penjuru di DUN Kukusan.

Lima lagi pesaing Rina turut hilang wang deposit.

Dalam pada itu, PRN kali ini yang berlangsung semalam juga menyaksikan sejumlah 3,884 kertas undi tidak dikembalikan manakala 14,056 undi ditolak daripada keseluruhan 749,083 atau 66.61 peratus pemilih berdaftar yang keluar mengundi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )