Lebih 500 tenaga kepakaran Bahrain bantu kendali GP di Sepang – Duta Bahrain

Lebih 500 tenaga kepakaran Bahrain bantu kendali GP di Sepang – Duta Bahrain

KUALA LUMPUR,. Lebih 500 warga Bahrain terlibat dalam pengendalian Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang berlangsung minggu ini, sekali gus mencerminkan skala kerjasama operasi antara kedua-dua negara dalam penganjuran perlumbaan berkenaan.

Duta Besar Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Al Manea berkata penglibatan tenaga kerja Bahrain itu merangkumi pelbagai tugas dalam pengendalian dan operasi litar sepanjang berlangsungnya perlumbaan dari 2 hingga 4 Okt.

Beliau berkata kehadiran lebih 500 rakyat Bahrain di Sepang turut memberi peluang untuk memanfaatkan kepakaran dan pengalaman mereka dalam pengendalian acara sukan permotoran bertaraf antarabangsa.

“Kami amat gembira melihat kepakaran Bahrain berada di Malaysia. Lebih 500 rakyat Bahrain hadir untuk menyumbang kepada usaha ini,” katanya seperti dipetik akhbar berbahasa Arab Bahrain, Al-Bilad.

Manea berkata penglibatan itu turut memperlihatkan keupayaan tenaga kerja Bahrain melaksanakan tugasan dalam tempoh singkat dan bekerja dalam persekitaran antarabangsa.

Sementara itu, kerjasama antara Bahrain dan Malaysia dalam pengendalian perlumbaan berkenaan telah berlangsung sejak peringkat persiapan, termasuk lawatan delegasi Bahrain Motor Federation (BMF) ke SIC bagi meneliti aspek pengurusan, teknikal, logistik dan operasi perlumbaan.

BMF sebelum ini berkata delegasinya bekerjasama dengan Bahrain International Circuit (BIC) dalam persiapan GP Bahrain di Sepang, termasuk memanfaatkan pengalaman kedua-dua pihak dalam pengendalian acara dan perlumbaan antarabangsa.

Penganjuran GP Bahrain di Malaysia merupakan hasil persetujuan F1, FIA serta kerajaan Malaysia dan Bahrain selepas perlumbaan asal di Bahrain tidak dapat berlangsung pada April susulan keadaan geopolitik di Asia Barat.

Perlumbaan utama dijadualkan berlangsung Ahad ini di SIC.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This