Lawatan keluarga penghuni penjara sempena Aidiladha pada raya ketiga, keempat

Lawatan keluarga penghuni penjara sempena Aidiladha pada raya ketiga, keempat

KUALA LUMPUR,. Keluarga penghuni penjara dibenar membuat lawatan sempena Aidiladha tahun ini pada raya ketiga dan keempat bagi semua institusi penjara, Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.

Jabatan Penjara dalam kenyataan hari ini memaklumkan keutamaan lawatan diberi kepada penghuni beragama Islam serta pelawat tidak dibenarkan membawa sebarang makanan dan minuman untuk penghuni, namun boleh dibeli di kantin penjara.

“Keluarga yang memilih kaedah bersemuka perlu mematuhi syarat antaranya waktu lawatan bermula dari 8.15 pagi hingga 4.15 petang serta perlu membawa Kad Lawatan serta Kad Pengenalan bagi memudahkan urusan,” menurut kenyataan itu.

Pelawat tidak digalakkan memberi wang kepada penghuni, memandangkan semua kemudahan asas sudah disediakan oleh Jabatan Penjara.

“Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, sila dapatkan resit rasmi PPT. 28 sebagai akuan penerimaan,” menurut kenyataan itu.

Selain kaedah bersemuka, perjumpaan secara dalam talian (panggilan video) juga dibenarkan pada 19 hingga 21 Jun ini.

“Ini bertujuan memberi peluang kepada keluarga yang tidak dapat hadir ke penjara untuk perjumpaan bersemuka. Sila hubungi institusi berkenaan untuk keterangan lanjut,” demikian menurut kenyataan itu.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )