Polis tumpaskan sindiket curi kenderaan lama

Polis tumpaskan sindiket curi kenderaan lama

KUALA LUMPUR,. Sindiket curi kenderaan lama yang bergiat aktif sejak dua tahun lepas di sekitar Lembah Klang tumpas dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan dipercayai dalang kegiatan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 35 dan 51 tahun itu ditahan dalam Op Lejang pada 23 Januari lepas di sekitar Lembah Klang.

“Kedua-dua suspek dipercayai mempunyai kepakaran menggunakan gunting untuk mencuri kenderaan dengan menyasarkan kereta, van dan lori model lama di sekitar ibu kota.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mencuri kenderaan di kawasan perumahan dan perindustrian sebelum dileraikan komponennya untuk dijual sebagai alat ganti,” katanya pada sidang media di Balai Polis Sentul semalam.

Hasil serbuan pihaknya telah merampas beberapa buah lori, kereta dan van selain dua penjana elektrik yang dipercayai dicuri dari sebuah gudang.

Turut ditemui 49 unit skrin komputer LED berjenama dalam sebuah lori dan nilai keseluruhan rampasan adalah lebih RM120,000, katanya.

Sementara itu, Beh berkata susulan penahanan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan 11 kes kecurian kenderaan yang dilaporkan khususnya di kawasan Kepong.

Selain itu, beliau berkata salah seorang suspek baharu saja dibebaskan dari penjara kerana disabitkan kesalahan curi kenderaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan kegiatan pecah rumah.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)