KWSP perkenal kemudahan pengeluaran i-Citra untuk bantu ahli terjejas

KWSP perkenal kemudahan pengeluaran i-Citra untuk bantu ahli terjejas

KUALA LUMPUR,. i-Citra, kemudahan pengeluaran terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu ahlinya dalam jangka pendek untuk mendepani cabaran kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan, akan dibuka untuk permohonan bermula 15 Julai ini.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata ahli boleh mula memohon kemudahan itu menerusi portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada Ogos 2021.

Semua ahli di bawah 55 tahun layak untuk memohon i-Citra, yang membolehkan mereka mengeluarkan sehingga maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki di kedua-dua Akaun 1 dan 2.

Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar untuk tempoh sehingga lima bulan dengan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan atau minimum RM50.

Turut diperlukan adalah nombor telefon bimbit yang dikemas kini untuk menerima Kod Pengesahan Transaksi (TAC) dan akaun bank peribadi aktif untuk memudahkan proses permohonan.

i-Citra diperkenalkan sebagai inisiatif bagi membantu ahli KWSP yang berdepan cabaran dan diusahakan setelah dipertimbangkan dengan teliti mengenai cara terbaik untuk membantu ahli terjejas, sekali gus berpegang kepada mandat KWSP.

“Walaupun KWSP tetap komited untuk membantu melindungi dana persaraan ahli, kami maklum perlunya keseimbangan bagi keperluan semasa dengan simpanan masa depan dan kemudahan sementara bagi membantu ahli dalam menghadapi pandemik ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, ahli boleh merujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Hotline i-Citra di talian 03-8922 4848.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )