
KESUMA: perluas program Jelajah AI MyMahir menghadapi ekonomi berteraskan AI – Ramanan Ramakrishnan
KUALA LUMPUR,. Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah memperluaskan pelaksanaan program Jelajah AI MyMahir di seluruh negara, bagi mempersiapkan rakyat Malaysia menghadapi ekonomi berteraskan AI.
Jelajah AI MyMahir merupakan sebuah program peningkatan kemahiran AI berasaskan komuniti yang diterajui oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), agensi badan pemikir strategik kementerian.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan berkata pendekatan Malaysia terhadap pembangunan AI mesti bersifat inklusif, berteraskan rakyat dan berpaksikan kepada keperluan sebenar di tempat kerja.
“AI kini sedang membentuk semula cara rakyat Malaysia bekerja merentasi pelbagai sektor. Tanggungjawab kita sebagai kerajaan adalah untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan, sebaliknya dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang membantu mereka kekal produktif, berdaya kerja dan berdaya saing,” katanya pada pelancaran program tersebut di Sungai Buloh, baru-baru ini.
Beliau menambah bahawa melalui TalentCorp, keutamaan bakat nasional sedang diterjemahkan kepada pembelajaran AI praktikal yang disampaikan secara langsung kepada komuniti.
“Jelajah AI MyMahir menterjemahkan keutamaan bakat negara kepada pembelajaran AI terapan yang menjangkau rakyat Malaysia di tempat mereka tinggal dan bekerja,” katanya.
Di bawah pelaksanaan peringkat kebangsaan, Jelajah AI MyMahir akan dilaksanakan di 60 kawasan Parlimen dengan menyediakan latihan AI secara praktikal dan aplikatif kepada pelajar, pekerja, wanita, usahawan serta pemilik perniagaan kecil.
Program ini memberi tumpuan kepada aplikasi AI yang boleh digunakan serta-merta bagi menyokong produktiviti, penjanaan pendapatan dan kebolehkerjaan, sejajar dengan AI yang terus membentuk semula peranan pekerjaan dan keperluan kemahiran.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, TalentCorp telah memformalkan kerjasama strategik dengan Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Malaysia) di bawah program tanggungjawab korporat global EY, EY Ripples.
Kerjasama tersebut dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU), sekali gus mengukuhkan kolaboratif awam–swasta bagi memajukan pelaksanaan AI berteraskan rakyat selaras dengan agenda MyMahir.
Bernilai RM110 juta, kerjasama ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 22,000 rakyat Malaysia di seluruh negara, merangkumi sekitar 12,000 peserta melalui Jelajah AI MyMahir dan tambahan 10,000 peserta melalui inisiatif TalentCorp yang lain melibatkan pelajar sekolah dan universiti, wanita serta veteran tentera.
Sehingga kini, empat sesi perintis Jelajah AI MyMahir telah diadakan di Sabah dan Selangor, mencerminkan permintaan kukuh di peringkat nasional terhadap pembelajaran AI yang praktikal dan berasaskan aplikasi.
Setiausaha Agung KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof berkata inisiatif ini membuktikan peranan TalentCorp dalam menterjemahkan keutamaan bakat dan AI negara kepada pelaksanaan di peringkat akar umbi.
“Melalui Jelajah AI MyMahir, TalentCorp mengoperasionalkan dasar nasional dengan membawa latihan AI terapan secara langsung kepada komuniti, memperkukuh kebolehsuaian tenaga kerja serta meningkatkan kebolehkerjaan dan produktiviti jangka panjang,” katanya.
Sejajar dengan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026–2030, Jelajah AI MyMahir mengamalkan pendekatan berasaskan komuniti dan dipacu permintaan, membolehkan peserta mengintegrasikan alat AI dalam kerja kreatif, operasi perniagaan dan produktiviti harian.
Program ini juga menyokong objektif Ekonomi MADANI yang bertujuan membina ekonomi yang berdaya tahan, berproduktiviti tinggi dan dipacu bakat dengan memastikan tenaga kerja Malaysia mampu menyesuaikan diri secara mampan terhadap perubahan teknologi.
Jelajah AI MyMahir akan terus dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara bagi memperluas akses kepada kemahiran AI praktikal dan peluang pembelajaran, demi menyokong pembinaan tenaga kerja Malaysia yang inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.
