Kes baharu COVID 1,647 dengan sembilan kematian dicatat – Dr Noor Hisham

Kes baharu COVID 1,647 dengan sembilan kematian dicatat – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR,. Malaysia mencatat 1,647 kes baharu COVID-19, dengan sembilan kematian hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes sembuh pula adalah 2,104 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 300,620.

“Daripada kes baharu hari ini, ia melibatkan kes tempatan sebanyak 1,642 kes iaitu 1,102 warganegara dan 540 bukan warganegara, manakala lima lagi adalah kes import,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata Selangor masih melaporkan kes harian baharu paling tinggi iaitu 712 kes, diikuti Johor (170 kes) dan Pulau Pinang (169 kes).

Sementara itu, sebanyak 147 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata sembilan kematian yang direkodkan hari ini kesemuanya melibatkan warga tempatan dengan empat kes di Selangor; dua di Johor; dan masing-masing satu kes di Perak, Kelantan, dan Kuala Lumpur.

Sementara itu, beliau berkata lima lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja, serta masing-masing satu kluster berkaitan komuniti dan pusat tahanan.

“Kluster tempat kerja dikesan di Johor iaitu Teknologi Tenggara dan Jalan Masyhur Enam serta satu di Selangor iaitu Tapak Bina Jalan Kenangan. Kluster komuniti dikesan di Jambatan Satu Bombalai (Sabah) dan kluster pusat tahanan iaitu DTI Machap Umboo, Melaka,” katanya.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kluster aktif kini 440 kluster dengan 65 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini.

Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tapak Bina Queens Waterfront iaitu 70 kes, Kluster Industri Sungai Gadut (68 kes) dan Kluster DTI Machap Umboo (67 kes), katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )