KERJASAMA ERAT AWAM-SWASTA PENTING DEMI KEMAMPANAN SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN – KSI

KERJASAMA ERAT AWAM-SWASTA PENTING DEMI KEMAMPANAN SISTEM PENJAGAAN KESIHATAN – KSI

KUALA LUMPUR,. Malaysia memerlukan kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dengan swasta sebagai usaha menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan dan mempersiapkan sistem kesihatan negara menghadapi populasi warga emas dan peningkatan beban penyakit kronik.

Presiden KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) Tan Sri Michael Yeoh berkata cabaran penjagaan kesihatan yang dihadapi negara tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian oleh sektor awam atau swasta.

Beliau berkata kerjasama lebih mendalam melibatkan kerajaan, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, syarikat insurans, syarikat teknologi serta pihak berkepentingan lain amat penting dalam usaha Malaysia mengorak langkah ke fasa seterusnya dalam pembangunan penjagaan kesihatan negara.

“Malaysia telah membangunkan sistem penjagaan kesihatan yang kukuh namun fasa seterusnya memerlukan jalinan kerjasama lebih mendalam antara kerajaan, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta, syarikat insurans, syarikat teknologi serta pihak berkepentingan.

“Sektor swasta memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, pelaburan, pendigitalan dan pembangunan model penjagaan kesihatan baharu, di samping memastikan pertumbuhan sektor swasta terus selari dengan keutamaan kesihatan negara,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan Sidang Kemuncak Penjagaan Kesihatan Malaysia 2026 hari ini.

Yeoh berkata Malaysia memerlukan ekosistem penjagaan kesihatan yang memastikan kelestarian perniagaan, kesejahteraan pesakit dan kepentingan awam, dengan ketiga-tiganya saling melengkapi dan bukannya bersaing.

Sidang kemuncak anjuran KSI dengan bertemakan “Aligning Private Sector Growth with National Health Priorities”, menghimpunkan kira-kira 120 penggubal dasar, badan kawal selia, pemimpin sektor penjagaan kesihatan swasta, syarikat insurans, pelabur, pengamal perubatam, ahli akademik serta pakar teknologi.

Sidang berkenaan menumpukan kepada usaha menyelaraskan keutamaan kerajaan dengan keupayaan sektor swasta bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, meningkatkan keberkesanan rawatan pesakit serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan serantau yang dipercayai.

Perbincangan itu berlangsung pada masa sektor penjagaan kesihatan berdepan tekanan yang meningkat akibat inflasi perubatan, kekangan tenaga kerja, keperluan pelaburan digital yang semakin meningkat, perubahan jangkaan pesakit serta persaingan di peringkat serantau.

Reformasi dalam sektor penjagaan kesihatan turut menitikberatkan berkaitan akses, ketelusan, pembaharuan sistem pembayaran, kesalingoperasian serta penyelarasan yang lebih erat dalam seluruh sistem kesihatan.

Perbincangan turut menyentuh mengenai kesihatan digital dan kecerdasan buatan (AI), selain keperluan mendesak terhadap penjagaan geriatrik, pencegahan, pemulihan serta penjagaan berasaskan rumah dan komuniti susulan peningkatan populasi warga emas dan beban penyakit konik di negara ini.

Sidang kemuncak itu turut menekankan bahawa usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau perlu dilaksanakan tanpa menjejaskan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan, kepercayaan masyarakat serta kelangsungan sistem penjagaan kesihatan negara dalam jangka panjang.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This