Jerayawara 50 tahun Rukun Negara anjuran BERNAMA kini bermula

Jerayawara 50 tahun Rukun Negara anjuran BERNAMA kini bermula

KUALA LUMPUR,. Lokasi pertama bagi program jerayawara Sambutan 50 Tahun Rukun Negara anjuran Bernama di Perpustakaan Kuala Lumpur semalam berlangsung meriah dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

Jerayawara itu bertujuan menyemarakkan sambutan dan memantapkan lagi penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pustakawan Kanan Perpustakaan Kuala Lumpur Anita Mohd Jali berkata pihaknya akan membantu menghebahkan sambutan 50 tahun Rukun Negara dan seterusnya mengajak orang ramai yang hadir ke perpustakaan untuk menghayati Rukun Negara.

“Memang sudah sampai masanya untuk kita adakan jerayawara sebegini untuk memperkenal kepada orang ramai terutamanya generasi baharu dan mengingat semula tentang Rukun Negara.

“Pihak kami akan turut sama membantu mempromosikan sambutan ini dan sama-sama membantu untuk memberi peringatan dan kesedaran kepada orang ramai,” katanya selepas menerima bahan promosi daripada Timbalan Ketua Pengarang Bernama Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Projek Sambutan 50 Tahun Rukun Negara Roslan Ariffin.

Dalam pada itu, penyelaras jerayawara tersebut Hasnita Ibrahim berkata sebanyak 26 lokasi dipilih bagi jelajah tersebut termasuk 16 buah sekolah di seluruh negara.

“Minggu ini kita tumpukan jelajah di perpustakaan dan minggu depan kita akan pergi ke sekolah-sekolah yang terpilih, sejumlah 16 buah sekolah terdiri sekolah rendah dan sekolah menengah seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka dan Johor.

“Jerayawara ini akan berakhir pada 15 Sept ini dan kita berharap ia dapat memupuk semangat Rukun Negara dalam kalangan anak muda serta menghayati dan memahami ertinya,” katanya.

Selain itu, jerayawara tersebut memberi peluang kepada Bernama mempromosikan penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan Rukun Negara serta galakan menyertai pelbagai aktiviti dan program anjuran Bernama.

Antara aktiviti anjuran Bernama bersempena sambutan ini adalah Insta Challenge, Rukun Negara Hour, Webinar, e-Tressure Hunt, Bual Bicara Bersiri, dokumentari dan lain-lain. — Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )