COVID-19: Pendekatan kesihatan holistik perlu bagi kesihatan planet

COVID-19: Pendekatan kesihatan holistik perlu bagi kesihatan planet

KUALA LUMPUR,. Pandemik COVID-19 merupakan contoh jelas akan hubungan rapat antara kesihatan dan alam sekitar, kata Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Beliau berkata cabaran kritkal yang lain termasuk kesan perubahan iklim terhadap kesihatan yang memerlukan rakyat untuk memikirkan semula sistem kesihatan pada abad ke-21 dan mengamalkan pendekatan semasa terhadap kesihatan planet.

Oleh itu, Dr Jemilah berkata kini merupakan masa yang tepat untuk Malaysia mengkaji aspek kesihatan secara lebih holistik, dan melangkaui kesihatan pesakit, untuk turut menangani aspek kesihatan planet.

“COVID-19 telah membuka mata kita semua, bahawa degradasi alam sekitar yang meningkat dan berlarutan akan terus meningkatkan kejadian zoonosis iaitu peningkatan penularan penyakit daripada haiwan kepada manusia.

“Ini memerlukan kita untuk mengamalkan gaya hidup lebih sihat yang sekali gus akan melindungi planet. Misalnya, di Paris ketika ini, terdapat pelaburan untuk menggalakkan aktiviti berbasikal di kawasan bandar raya itu, sekali gus mengurangkan penggunaan karbon dan menambah baik kualiti udara di bandar raya itu,” katanya dalam ucap tama pada program ‘Building Capacity and Partnership for Health Advocacy’ di sini, pada Ahad.

Dr Jemilah juga berkata COVID-19 juga dilihat sebagai wadah untuk mengubah pendekatan keusahawanan terhadap perubahan iklim.
“Kita perlu mengkaji dengan serius untuk mengubah penggunaan bahan buangan perubatan kepada jenis biodegradasi (boleh terurai secara biologi) dan mungkin di masa depan akan ada pelitup muka biodegradasi yang amat diperlukan untuk mengurangkan kesan pelitup muka yang hanya diguna sekali sahaja terhadap alam sekitar.

“Ini merupakan masa untuk syarikat melabur dalam penyelidikan dan pembangunan barangan biodegradasi termasuk sarung tangan yang digunakan secara meluas. Inovasi dalam kalangan usahawan akan menghasilkan kesan positif di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan COVID-19 telah menjejaskan kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) global dan mungkin kini masanya untuk mengkaji bagaimana pendekatan kesihatan planet dapat mencorakkan semula SDG.

Ketika ditanya mengenai seminar itu, Dr Jemilah berkata adalah penting bagi profesional penjagaan kesihatan turut memberi sokongan kerana mereka merupakan individu yang dipercayai di mana-mana negara atau dalam konteks itu.

“Suara kami penting dan sebagai penyokong akan dapat memainkan peranan dalam menyampaikan keputusan dasar-dasar dan mengadakan dialog. Kami tidak patut mensia-siakan peluang untuk mempengaruhi perubahan positif untuk hasil kesihatan lebih baik,” jelasnya.

Seminar anjuran bersama Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan Akademi Perubatan Malaysia (AMM) itu bertujuan merapatkan jurang antara bidang berbeza sistem kesihatan dalam kalangan doktor pakar, ahli akademik dan pengamal kesihatan global.

Pada seminar itu, AMM turut melancarkan AMM-COS Basis Surgical E-Training Management Platform, platform pengurusan dalam talian bagi penyelarasan dan dokumentasi latihan surgikal asas secara berpusat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )