Jenazah Dr Siti Hasmah dibawa ke masjid untuk disolatkan

Jenazah Dr Siti Hasmah dibawa ke masjid untuk disolatkan

SERI KEMBANGAN,. Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dibawa keluar dari kediamannya di sini untuk dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah untuk disolatkan.

Jenazah dibawa keluar dari kediaman pada kira-kira 2.45 petang, sebelum tiba di pekarangan masjid pada 2.55 petang diiringi ahli keluarga.

Sejurus tiba, jenazah kemudian dibawa masuk ke bilik jenazah bagi urusan pengurusan jenazah sebelum sesi penghormatan terakhir.

Turut berada di masjid ialah suaminya Tun Dr Mahathir serta anak-anak dan ahli keluarga terdekat.

Solat solat jenazah akan dilaksanakan selepas solat Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 10.48 pagi tadi.
Antara kenamaan lain yang hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dan isteri, bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk memberi taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham Dr Siti Hasmah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini memaklumkan beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman, untuk membantu pengurusan dan melaksanakan istiadat berkenaan.

Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This