BANJIR: JUMLAH MANGSA DI KEDAH, PERLIS MENINGKAT PAGI INI

BANJIR: JUMLAH MANGSA DI KEDAH, PERLIS MENINGKAT PAGI INI

KUALA LUMPUR,. Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah meningkat kepada 202 orang daripada 69 keluarga setakat 8 pagi ini.

Jumlah itu meningkat berbanding 192 mangsa daripada 67 keluarga yang direkodkan petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah memaklumkan kesemua mangsa dari daerah Yan itu ditempatkan di tiga PPS.

Sebanyak 101 mangsa daripada 29 keluarga berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi, manakala 43 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Eng.

Dewan Lestari Guar Chempedak pula menempatkan 58 mangsa daripada 18 keluarga.

Di Perlis, Dewan Batu 5 di Kangar masih beroperasi sebagai transit dengan jumlah mangsa banjir kilat melibatkan Kampung Telok meningkat sedikit kepada 16 orang daripada tujuh keluarga setakat pagi ini berbanding 12 orang daripada empat keluarga pada petang semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata angka itu sedikit meningkat disebabkan keadaan banjir termenung meskipun tiada hujan setakat pagi ini.

Terdahulu, Mohd Izaimi dilaporkan berkata dewan itu dibuka pada 1.50 pagi semalam dan belum ada PPS diisytiharkan dibuka secara rasmi.

Pihak APM Perlis akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan PPS akan dibuka secara rasmi jika situasi banjir dinilai semakin teruk.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This