Generasi muda minat media sosial Istana Negara

Generasi muda minat media sosial Istana Negara

KUALA LUMPUR,. Lebih 50 peratus daripada jumlah pengikut media sosial Istana Negara adalah golongan muda.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, berkata ia jelas menunjukkan sokongan generasi remaja dan belia di negara ini kepada institusi diraja.

“Mengenai hubungan antara rakyat dan kerabat diraja dalam media sosial Istana Negara, golongan muda antara pengikut paling ramai melebihi 50 peratus.

“Bagi meningkatkan semangat cintakan kepada institusi diraja, saya berpendapat perlu banyakkan tontonan mengenai aktiviti Raja.

“Misalnya institusi diraja buat lawatan ke rumah orang susah dan beri bantuan kepada rakyat, supaya kita dapat lihat Raja bukan hanya bersemayam di istana, tetapi turut turun padang mendengar sendiri rintihan rakyat,” katanya ketika menjadi tetamu program Darah Muda terbitan Bernama TV, malam tadi.

Selain itu, Azuan Effendy juga berkata, generasi muda perlu mendukung dan menghayati prinsip Rukun Negara yang kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara bagi memastikan pemahaman terhadap falsafah itu diterapkan secara menyeluruh sekali gus membantu menjadikan Malaysia sebuah negara berdaulat.

Beliau berkata, generasi itu juga perlu menyemai semangat cintakan negara serta menghormati institusi diraja lebih-lebih lagi golongan muda bakal menjadi pemangkin kesejahteraan negara pada masa akan datang.

“Kita harus jelas bahawa Rukun Negara dengan lima prinsip bukanlah hanya teks bersifat layu dan lesu, malah ia sebenarnya teks yang mempunyai jiwa dan roh yang harus difahami dan dihayati seluruh masyarakat terutama orang muda.

“Anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara harus tahu sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini adalah paksi kepada negara… negara akan terus gemilang jika kita terus mempertahankannya,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )