Piala Remaja Lelaki Asia Dhaka 2020 ditangguh – AHF

Piala Remaja Lelaki Asia Dhaka 2020 ditangguh – AHF

KUALA LUMPUR,. Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengesahkan penangguhan Kejohanan Piala Remaja Lelaki Asia 2020 di Dhaka, Bangladesh buat kali kedua berikutan pandemik COVID-19.

Menurut laman sesawang AFH, asiahockey.org, memandangkan penangguhan sebelum ini baru sahaja, mereka memerlukan masa untuk menetapkan tarikh baharu tetapi akan disahkan secepat mungkin.

“Kita semua masih melalui masa sukar yang tidak menentu dengan pandemik terus memberi kesan besar kepada kehidupan seharian di banyak negara dan sekatan perjalanan masih berterusan.

“Persekutuan Hoki Bangladesh (BHF) sebagai tuan rumah Piala Remaja Lelaki Asia 2021 telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negaranya mengenai beberapa aspek,” menurut AHF.

Selain melindungi kesihatan dan kebajikan pemain, kakitangan pasukan dan pegawai, AHF juga perlu mempertimbang bahawa Piala Remaja Asia merupakan acara utama, kelayakan Piala Dunia Remaja serta kejohanan yang menampilkan atlet yang hanya selangkah dari bermain di peringkat paling tinggi sukan berkenaan.

“Oleh itu, kami mesti memastikan keadaan sesuai untuk acara tersebut dan meminimumkan risiko pasukan yang layak dan atlet yang tidak dapat mengambil bahagian,” menurut AHF.

Sebelum ini, pada Mac, AHF mengumumkan penangguhan kejohanan yang menjadi sebagai kelayakan pasukan Asia untuk Piala Dunia Remaja 2021, ke satu tarikh yang belum ditentukan.

Pada asalnya kejohanan itu dijadualkan berlangsung dari 4-12 Jun 2020, namun pada September 2020 diumumkan bahawa kejohanan akan berlangsung dari 21-30 Januari 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )