
Gabenor Wilayah Sirdarya, Republik Uzbekistan adakan kunjungan hormat ke atas Mohamad
KUALA LUMPUR,. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu telah menerima kunjungan hormat daripada Gabenor Wilayah Sirdarya, Republik Uzbekistan, TYT Erkinjon Turdimov.
Pertemuan yang berlangsung di Menara LPP di sini semalam, turut dihadiri oleh Duta Besar Republik Uzbekistan ke Malaysia, TYT Karomidin Gadoev serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Wilayah Sirdarya terkenal sebagai kawasan pertanian yang menghasilkan tanaman seperti kapas, gandum dan tembikai.
Dalam sesi tersebut, kedua-dua pihak menzahirkan perkembangan positif perdagangan pertanian antara Malaysia dan Uzbekistan yang merekodkan nilai sebanyak RM266 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.
Eksport pertanian Malaysia ke Uzbekistan merangkumi produk seperti kopi, koko, teh, rempah-ratus serta produk pertanian terproses, manakala import dari Uzbekistan pula terutamanya terdiri daripada buah-buahan.
Kedua-dua pihak turut menyatakan harapan agar perdagangan pertanian dua hala ini dapat terus diperkukuh pada masa hadapan demi manfaat bersama.
Kunjungan hormat ini menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kerjasama Malaysia–Uzbekistan dalam sektor pertanian dan agromakanan, selaras dengan keutamaan Malaysia untuk memastikan keterjaminan makanan negara.
Perbincangan tertumpu kepada potensi kerjasama dalam pembangunan tanaman tembikai, sektor perikanan serta pemodenan penanaman padi melalui penggunaan teknologi seperti dron.
Dalam pertemuan tersebut, Mohamad turut menyampaikan jemputan kepada Uzbekistan untuk menyertai Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) 2026 yang akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS, Serdang, dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
