Fatehah Mustapa umum persaraan daripada sukan berbasikal negara

KUALA LUMPUR,. Selepas 17 tahun berkecimpung dalam arena sukan berbasikal, ratu berbasikal trek negara Fatehah Mustapa hari ini mengumumkan persaraannya dalam sukan itu.

Berita sedih buat peminat sukan berbasikal tanahair itu disampaikan melalui laman sosial Facebook (Fatehah Mustapa) dan juga instagramnya (@fatehahmustapa).

“Assalamualaikum, buat semua, pertamanya saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada anda penyokong dari Malaysia di atas sokongan berterusan di sepanjang perjalanan kerjaya saya. Saya mengambil keputusan bersara sebagai seorang pelumba basikal selepas berkecimpung selama 17 tahun di dalam sukan ini ” katanya.

Atlet berusia 31 tahun itu turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Tidak dilupakan juga bekas penaja seperti CIMB, Sime Darby, AirAsia, Tumi, Nike dan Oakley yang turut memberi peluang kepadanya untuk mengembangkan bakat sekali gus memastikan impiannya tercapai.

Atlet berasal dari Kuala Terengganu itu berbangga kerana pernah berada dalam pasukan Sukan Olimpik negara sebanyak dua kali (2012 dan 2016) serta diberikan peluang sebagai pembawa bendera Malaysia pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland.

“Jutaan terima kasih kepada keluarga kerana keyakinan yang diberikan dan terus menyokong saya sehingga penghujung kerjaya saya. Terima kasih banyak kepada Melbourne Base Team untuk semuanya. Saya amat bertuah kerana memiliki sebuah keluarga yang baik.

Buat seorang dan hanya seorang, yang telah membesarkan saya sepanjang 11 tahun lepas dan beliau bukanlah hanya seorang jurulatih tetapi juga seorang ayah (John Beasley) yang selalu di sisi anaknya semasa susah dan juga sewaktu mencapai kejayaan, berbanyak-banyak terima kasih di atas semua pengorbanan anda untuk saya,” katanya.

Sepanjang kariernya, Fatehah meraih pelbagai kejayaan termasuk dua pingat emas Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) , tiga pingat emas Sukan SEA serta pingat perak Sukan Asia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )