JAS Selangor, MPK serbu premis cuci tong terpakai sebabkan pencemaran air

JAS Selangor, MPK serbu premis cuci tong terpakai sebabkan pencemaran air

SHAH ALAM,. Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyerbu sebuah premis di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang dekat sini hari ini kerana disyaki menyebabkan pencemaran air.

Pengarah JAS Selangor Nor Aziah Jaafar berkata premis berkenaan yang menjalankan aktiviti mencuci tong-tong terpakai secara haram telah menyebabkan pembentukan buih berwarna putih di sebuah parit di Taman Ubudiah.

“Semasa serbuan dijalankan JAS Selangor dan MPK pada 10 pagi tadi, lantai dan longkang di premis berkenaan didapati basah walaupun premis berkenaan tidak menjalankan sebarang operasi.

“Siasatan lanjut di premis berkenaan mendapati sebuah kawasan berbumbung telah dijadikan tempat mencuci tong-tong terpakai, air cucian termasuk sisa buangan berjadual telah dialirkan secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis berkenaan.

“Siasatan turut mendapati tong-tong terpakai itu diperoleh di sekitar Klang dan tong yang telah dicuci akan dijual semula kepada kilang-kilang seperti kilang pembuatan bahan kimia bagi tujuan isian semula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nor Aziah, sisa buangan berjadual yang terdapat di dalam tong-tong terpakai di premis berkenaan telah diambil sebagai bahan bukti bagi tujuan pendakwaan.

Kata Nor Aziah, empat kertas siasatan telah dibuka ke atas pemilik premis berkenaan.

“Pemilik premis ini disiasat di bawah Seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana gagal mengemukakan laporan kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang ditetapkan, Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menempatkan buangan berjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan, Seksyen 18(1) kerana menjalankan aktiviti di premis tanpa mendapat apa-apa lesen dan Seksyen 19(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis,” katanya.

Beliau berkata peralatan mencuci yang digunakan turut dirampas di bawah Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

“Orang ramai dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )