Dakwaan UMNO keluar PN tidak dibincangkan dalam pertemuan tertutup BN-PM

Dakwaan UMNO keluar PN tidak dibincangkan dalam pertemuan tertutup BN-PM

KUALA LUMPUR,. Dakwaan bahawa UMNO mahu keluar daripada Perikatan Nasional (PN), tiada dibincangkan dalam pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim, mengesahkan perkara itu tidak dibangkitkan dalam pertemuan itu, selain menyifatkannya sebagai dakwaan jahat dan pembohongan pihak tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, beliau berkata, pertemuan tertutup itu hanya membincangkan isu memperkukuh gabungan PN dan perihal sidang Dewan Rakyat.

“Tiada perbincangan berkenaan perkara itu dibangkitkan. Jika betul ada dakwaan sedemikian, ia sepatutnya dibincangkan dalam platform antara Presiden parti sahaja dan bukan bersama Ahli Parlimen.

“Saya tidak tahu dari mana wujudnya dakwaan ini. UMNO yang sama-sama menubuhkan kerajaan, takkan kita hendak keluar daripada PN. Tiada sebab untuk UMNO keluar daripada PN.

“Kami membincangkan bagaimana untuk memperkukuh Parlimen, selain menyatakan sokongan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri,” katanya kepada BH, hari ini.

Difahamkan, pertemuan tertutup diketuai Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu berlangsung selama sejam di bangunan Parlimen, di sini, jam 1 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, Shahidan turut menjelaskan, tiada perbincangan mengenai kedudukan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dibangkitkan dalam pertemuan berkenaan.

“Ini adalah pertemuan biasa yang saya aturkan antara Ahli Parlimen BN bersama Muhyiddin, dari semasa ke semasa.

“Kita juga tidak membincangkan sesuatu perkara secara spesifik. Pertemuan bersama Muhyiddin dilakukan secara berkala dari semasa ke semasa,” katanya yang juga Ahli Parlimen Arau.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )