COVID-19: 1,063 kes baharu, terendah tahun ini

COVID-19: 1,063 kes baharu, terendah tahun ini

KUALA LUMPUR,. Malaysia hari ini mencatatkan 1,063 kes baharu positif COVID-19, angka harian terendah direkodkan pada tahun ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kini 326,034 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah hairan itu, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 1,059 kes melibatkan penularan dalam negara.

“Kesemua empat kes import itu adalah bukan warganegara manakala kes tempatan membabitkan 814 warganegara dan 245 bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Beliau berkata kes sembuh pula adalah 1,365 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 309,612.

Dr Noor Hisham berkata tiga negeri yang merekodkan kes tertinggi adalah Selangor dengan 323 kes, Sarawak (183) dan Pulau Pinang (175).

Dr Noor Hisham berkata kes aktif kini berjumlah 15,204, dengan 152 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 68 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, lima kematian pula dilaporkan hari ini melibatkan lelaki warga tempatan dalam lingkungan umur 69 hingga 84 tahun dengan masing-masing menghidap penyakit kronik, menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 ialah 1,218 kes.

Selain itu, katanya, lima kluster baharu dikesan hari ini dengan tiga berkaitan komuniti dan dua membabitkan penularan di tempat kerja, menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini 1,255 dengan 428 kluster aktif.

“Kluster baharu berkaitan komuniti yang direkodkan ialah Jalan Kampung Hilir dan Nanga Bulo di Sarawak dan Banggol Chicha di Kelantan manakala dua kluster melibatkan tempat kerja pula adalah Jalan Sanyan (Sarawak) dan Jalan Taiping (Kuala Lumpur),” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, jumlah kluster yang telah tamat pula ialah 827 kluster termasuk lapan yang tamat hari ini.

Lapan kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Jalan Day, Package Pengerang, Permata Satu, Lasah, Jalan Sepanggar, Jalan Padi Mahsuri, Putra Tujuh dan Kampung Parit Masjid.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)