PM: Masa untuk rentas negeri sudah semakin hampir
KUALA LUMPUR,. Aktiviti rentas negeri yang ditunggu-tunggu oleh rakyat kini sudah semakin hampir untuk dibenarkan susulan peningkatan kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau amat memahami keluh-kesah rakyat yang ingin pulang ke kampung menziarahi ibu bapa dan khabar gembira itu akan diumumkannya sebaik kadar vaksinasi mencapai 90 peratus.
“Saya percaya ramai yang nak balik kampung…sesetengah itu dah setahun lebih tak tengok ibu bapa mereka, sesetengah (ada yang) ibu bapa tak sihat. Saya tahu, arwah mak saya dahulu kalau saya tak balik setiap minggu atau dua minggu sekali, dia akan menangis apabila telefon saya.
“Ramai yang saya percaya mempunyai situasi seperti yang saya pernah hadapi dahulu. Kita faham tetapi kerana masalah kesihatan, kita sekat pergerakan kita tetapi saya dah kata kita tak akan sekat pergerakan rakyat selama-lamanya,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Perdana Menteri yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam Ahad.
Beliau percaya masa untuk merentas negeri sudah semakin hampir memandangkan kadar peratusan populasi dewasa yang telah menerima vaksin semakin meningkat dan telah mencecah lebih 86 peratus.
Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa langkah kerajaan menaikkan daripada 80 peratus kepada 90 peratus kadar vaksinasi sebelum kebenaran rentas negeri diberikan bertujuan untuk memastikan tiada negeri yang ketinggalan sebaik ia diumumkan.
“Saya cuma nak jelaskan dahulu kata 80 peratus boleh merentas negeri kenapa tiba-tiba jadi 90 peratus. Ini sebab kita lihat apabila 80 peratus, kita lihat banyak lagi negeri-negeri yang peratusnya masih kecil.
“Jadi kalau kita buka seluruh Malaysia, kita tak nak tinggalkan negeri-negeri yang masih kecil peratusan vaksin di negeri mereka. Jadi sebab itulah kita tunggu 90 peratus kerana kita percaya apabila 90 peratus, setiap negeri (rata-ratanya) sudah (mencapai) 80 peratus lebih. Jadi sebaik sahaja 90 peratus, kita akan umumkan. Ini berita gembira buat semua rakyat Malaysia,” katanya.
Ismail Sabri berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bertujuan membendung penularan COVID-19, sektor pelancongan merupakan antara sektor yang menerima impak paling besar.
“Ia bergantung kepada rentas negeri…selagi rentas negeri tidak dibenarkan, selagi itu pelancongan tidak boleh dimulakan, dari segi sektor pelancongan tak boleh dibuka,” katanya.
Mengenai MyTravelPass, perdana menteri berkata kerajaan akan membenarkan rakyat untuk ke luar negara tanpa perlu memohon pas berkenaan sebaik program vaksinasi negara mencapai kadar 90 peratus.
“Dahulu kita buat sekatan penerbangan kerana kita tak benarkan rakyat kita melancong ke luar negara sebab itu kita tapis siapa yang nak keluar negara, tapi atas urusan perniagaan kita benarkan dan untuk pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran atau memasuki universiti pengajian tinggi swasta di luar negara memang kita benarkan tanpa MyTravelPass.
“Tetapi untuk pelancongan masih kita tak benarkan. Untuk suami berjumpa isteri memang kita benarkan tetapi perlu membuat permohonan…saya nak sebut apabila 90 peratus program vaksinasi telah tercapai untuk dua dos, kita akan membenarkan rakyat kita ke luar negara tanpa memohon MyTravelPass lagi,” katanya.
— BERNAMA