
BAHASAKAN DIRI “GURU”, ANWAR HARAP MISI BRICS DI INDIA CAPAI SASARAN
KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap penyertaan Malaysia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di India membuahkan kejayaan bermakna, sambil mencuri tumpuan warganet apabila membahasakan dirinya sebagai “Guru” sejurus menjejakkan kaki di New Delhi.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata beliau membawa suara negara ke pentas berprestij itu berteraskan kerangka Diplomasi MADANI.
“Alhamdulillah, Guru selamat tiba di New Delhi, India untuk membawa nama negara di pentas dunia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.
“Doakan misi diplomasi negara ini mencapai matlamatnya. Semoga anak didik dapat belajar daripada Guru cara Diplomasi MADANI diterjemahkan. Slayyy,” katanya dalam catatan itu.
Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar bersama delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Palam di New Delhi pada 6.30 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Pada Ahad (13 Sept), Perdana Menteri dijadualkan menghadiri sesi pembukaan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 dan menyampaikan Kenyataan Negara bertajuk “Membentuk Masa Depan ke arah Pertumbuhan Global yang Inklusif”.
Sidang kemuncak yang dihoskan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi itu bertemakan “Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan”, dengan tumpuan khusus terarah kepada usaha memperkukuh daya tahan, kerjasama ekonomi serta pembaharuan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
— BERNAMA
