Asas kukuh tidak berubah, kekalkan dasar kewangan konservatif – Petronas

Asas kukuh tidak berubah, kekalkan dasar kewangan konservatif – Petronas

KUALA LUMPUR,. Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menegaskan asasnya yang kukuh membolehkan syarikat itu bertahan daripada turun naik dan kejutan dalam pasaran.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat minyak nasional itu berkata ia dapat mengekalkan profil kewangannya yang kukuh dan sentiasa mengekalkan dasar kewangannya yang konservatif, disiplin modal yang tegas dan fokus kepada mengoptimumkan kos ke arah memastikan pemeliharaan kecairan, walaupun ekonomi lembap berikutan pandemik COVID-19.
Ini berikutan keputusan oleh Fitch Ratings menurunkan penarafan kemungkiran penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Petronas kepada BBB+ (Prospek Stabil) daripada A- (Prospek Negatif).

Semakan semula penarafan kredit itu dibuat berikutan penurunan penarafan Malaysia kepada BBB+ (Prospek Stabil) daripada A- (Prospek Negatif) yang dikeluarkan pada 4 Dis, 2020.

“Profil Kredit Berdiri Sendiri (SCP) yang dinilai pada ‘aa-‘ turut mencerminkan profil perniagaan Petronas yang kukuh, kedudukannya sebagai pengeluar minyak dan gas berskala besar dan bersepadu sepenuhnya serta operasi yang pelbagai dalam huluan, gas asli cecair (LNG), penapisan hiliran dan petrokimia,” katanya.

Petronas berkata penarafannya terus dihadkan kepada penarafan berdaulat selagi syarikat secara mampan menjana lebih 10 peratus daripada pendapatan kerajaan di bawah kriteria penarafan entiti berkaitan kerajaan Fitch.

Sementara itu, SCP Petronas seperti yang dinilai oleh Fitch kekal tidak berubah sejak 2016 pada ‘aa-‘.
“Petronas telah menyumbang lebih 15 peratus daripada pendapatan negara Malaysia sejak lima tahun lepas.

“Kami telah berada dalam kedudukan tunai bersih sejak 2006 dan terendah melalui kitaran leveraj dan nisbah liputan faedah tertinggi dalam kalangan rakan-rakan yang diberi penarafan ‘AA-‘,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)