Premis sediakan latihan promosi judi diserbu, lima warga asing ditahan

Premis sediakan latihan promosi judi diserbu, lima warga asing ditahan

KUALA LUMPUR,. Polis menyerbu sebuah premis yang dipercayai menyediakan latihan untuk mempromosi judi dalam talian dan pelaburan saham di sebuah hotel di Jalan Changkat Thambi Dollah dekat sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata empat lelaki warga China dan seorang wanita Vietnam berusia antara 21 hingga 33 tahun ditahan dalam serbuan di premis berkenaan kira-kira pukul 12.01 tengah malam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati sindiket itu memberikan latihan bagi mempromosi aktiviti perjudian dalam talian serta pelaburan saham untuk pasaran di negara China, dan kesemua suspek dibawa masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial yang diuruskan majikan mereka.

“Semua suspek bekerja di premis itu sejak tiga bulan lepas dengan masing-masing menerima bayaran RM2,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan.

Polis turut merampas 14 unit telefon bimbit, dua buah komputer riba dan pelbagai barangan yang disyaki digunakan untuk menjalankan perjudian dalam talian.

Mohamad Zainal berkata semua suspek direman sehingga 11 Dis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )