BIMB Holdings, Bank Islam tambah peruntukan bantuan AMAL Prihatin COVID-19 Sabah

BIMB Holdings, Bank Islam tambah peruntukan bantuan AMAL Prihatin COVID-19 Sabah

KUALA LUMPUR,. BIMB Holdings Bhd (BHB) dan subsidiari milik penuhnya, Bank Islam Malaysia Bhd telah menambah sejumlah RM100,000 untuk bantuan AMAL Prihatin COVID-19 kepada negeri Sabah.

Peruntukan terbaru daripada tabung tanggungjawab sosial korporatnya diberikan selepas melihat lonjakan kes COVID-19 di negeri tersebut, kata kumpulan perkhidmatan kewangan itu.

Antara bantuan yang ditawarkan di bawah bantuan AMAL Prihatin COVID-19 kedua ke Sabah adalah RM20,000 yang disalurkan kepada petugas barisan hadapan di empat daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Sandakan serta Kota Kinabalu, dalam bentuk bekalan makanan dan minuman termasuk barangan keperluan lain, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bantuan itu turut merangkumi RM80,000 untuk 800 keluarga yang terjejas di lima daerah iaitu Tawau, Lahad Datu, Tuaran, Sandakan dan Semporna, dalam bentuk barangan keperluan asas.

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata empati terhadap cabaran yang dihadapi oleh rakyat Sabah dan kesejahteraan mereka, kumpulan itu telah memutuskan untuk menggandakan usahanya dalam membantu komuniti yang terjejas di negeri berkenaan.

Sokongan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan dalam membantu masyarakat yang terjejas dengan ketara akibat pandemik ini.

“Semasa gelombang pertama COVID-19, BHB dan Bank Islam telah mengagihkan bantuan bernilai RM42,000 kepada Sabah.

“Dana ini disumbangkan ke arah menyediakan peralatan berkaitan perubatan yang penting bagi manfaat petugas barisan hadapan di empat lokasi iaitu Kementerian Kesihatan Lahad Datu, Hospital Tawau, Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu,” kata Mohd Muazzam.

Tambahnya, kumpulan itu juga telah mengagihkan bantuan kepada usahawan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia Sabah, yang mana perniagaan mereka telah terjejas akibat COVID-19.

Mohd Muazzam turut menggesa pelanggan BIMB dan Bank Islam di Sabah yang menghadapi kekangan kewangan yang teruk akibat kehilangan pekerjaan atau berdepan pengurangan pendapatan untuk memohon bantuan pembayaran balik yang disasarkan, yang sedang ditawarkan sehingga akhir Jun 2021.

“Permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan mengimbas kod QR yang terdapat di laman web Bank Islam. Pelanggan juga boleh menghubungi pusat panggilan kami di talian 03-26 900 900 bagi maklumat lanjut. Kami berharap inisiatif-inisiatif ini dapat meringankan beban yang mereka hadapi,” katanya lagi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )