AL ZULFADLY SEKALI LAGI DIPENJARA, SEBAT KERANA TIPU JUAL KENDERAAN LELONG

AL ZULFADLY SEKALI LAGI DIPENJARA, SEBAT KERANA TIPU JUAL KENDERAAN LELONG

SHAH ALAM,. Seorang lelaki yang menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit (ADC) Raja Muda Selangor, yang sebelum ini dihukum penjara atas kesalahan menipu berhubung pembelian hartanah serta kenderaan mewah, hari ini dipenjara 27 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menipu berhubung penjualan dua kenderaan lelong bernilai RM73,000.

Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Zulfadly Alias, 40, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara secara berasingan bermula dari tarikh dia dituduh pada 12 Nov dan 13 Nov lepas.

Sementara itu, tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah menetapkan 19 Jan 2027 untuk sebutan kes. Hari ini ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum terhadap Al Zulfadly.

Mereka didakwa bersubahat dengan seorang lelaki berusia 43 tahun untuk menipu seorang lelaki berusia 48 tahun dengan memperdayakannya supaya mempercayai bahawa mereka mempunyai keupayaan menguruskan pembelian sebuah kenderaan terpakai jenis Honda CRV, yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM33,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di sini antara 13 dan 14 Mei lepas mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 420 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Al Zulfadly dan Nurul Nur Syahirah didakwa bersama-sama memperdayakan seorang wanita berusia 43 tahun supaya mempercayai mereka mempunyai keupayaan menguruskan pembelian sebuah kenderaan terpakai jenis Lexus RX350 yang kononnya diperoleh menerusi lelongan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada harga RM40,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Taman Sri Andalas, Klang, antara 13 dan 14 April lepas, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian kedua-dua mangsa telah bertemu dengan tertuduh bersama tunangnya di sebuah restoran bagi mendapatkan maklumat berhubung penjualan kenderaan terpakai sempena Sidang Kemuncak ASEAN. Dalam pertemuan itu, Al Zulfadly, memperkenalkan dirinya sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan mampu menguruskan pembelian kenderaan berkenaan menerusi proses lelongan.

Tertuduh turut menggunakan kedudukannya sebagai ADC untuk meyakinkan kedua-dua mangsa bahawa beliau mampu mendapatkan kenderaan pada harga yang lebih murah. Kedua-dua mangsa berminat untuk mendapatkan kenderaan berkenaan sebelum masing-masing membuat transaksi wang berjumlah RM33,000 dan RM40,000 ke dalam akaun bank milik tertuduh dan selepas pembayaran dibuat, kedua-dua mangsa gagal memperoleh kenderaan yang dijanjikan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari memohon hukuman penjara bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan satu kesalahan serius, iaitu menyamar sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor.

“Tertuduh telah memperdaya dua pengadu yang mempercayai bahawa dirinya mempunyai pengaruh untuk menguruskan urusan pembelian kereta. Hukuman berat ini merupakan mesej jelas kepada masyarakat bahawa mahkamah memandang serius kesalahan seperti ini, selain tidak akan berkompromi dengan pihak yang melanggar undang-undang.

“Hukuman ini juga diharap dapat memberi pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat agar tidak melakukan kesalahan sama,” katanya.

Sementara itu, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Yong Kum Lam memohon hukuman pemenjaraan singkat atas alasan anak guamnya tidak bekerja dan telah menyesal dengan perbuatannya.

“Tertuduh ingin untuk menebus kesalahannya dan berjanji untuk berubah menjadi individu lebih baik selepas ini. Oleh itu, pihak kami memohon supaya tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan ini secara serentak bermula dari tarikh tangkap,” kata peguam itu.

Pasangan itu didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 12 Nov lepas atas pertuduhan menipu melibatkan urusan jual kenderaan lelong bernilai RM33,000 dan keesokan harinya (13 Nov), mereka didakwa di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan menipu melibatkan penjualan kenderaan lelong bernilai RM40,000. Kes di Mahkamah Klang dipindahkan ke Mahkamah Shah Alam.

Pada 16 Nov lepas, Al Zulfadly dihukum penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menipu seorang selebriti berhubung pembelian hartanah.

Esoknya, (17 Nov) lelaki itu sekali lagi dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita membabitkan RM155,000 berkaitan pembelian hartanah serta kenderaan mewah.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This