
KERTAS PUTIH PERSIAPAN MALAYSIA MENUJU NEGARA TUA DIBENTANG DI DEWAN RAKYAT BULAN DEPAN
PUTRAJAYA,. Kertas Putih mengenai persiapan Malaysia menuju negara tua dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Dis ini, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata Malaysia telah memasuki status negara menua pada 2021 dan dijangka menjadi negara tua pada 2048 sebelum mencapai tahap negara super aged pada 2060.
Katanya, persiapan menghadapi perubahan demografi itu tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut menguruskan kebajikan warga emas, sebaliknya perlu merangkumi persediaan generasi akan datang dalam menghadapi perubahan struktur ekonomi dan masyarakat.
“Persiapan menuju ke negara tua ini bukan semata-mata untuk melihat ruang yang kita kena tambah baik sedia ada, tetapi juga mempersiapkan generasi yang akan datang untuk menghadapi keadaan ini,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Beliau berkata tempoh peralihan Malaysia daripada negara menua kepada negara tua adalah agak singkat, iaitu sekitar 27 tahun, sekali gus memerlukan persediaan lebih awal bagi memastikan perubahan demografi itu tidak mewujudkan jurang antara generasi.
Akmal Nasrullah berkata perubahan jumlah penduduk dan tenaga kerja pada masa hadapan turut memberi kesan kepada kapasiti ekonomi negara, termasuk keperluan memastikan warga emas bukan sekadar dapat meneruskan kehidupan tetapi masih berupaya menyumbang kepada masyarakat dan ekonomi.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga sedang melihat potensi ekonomi yang boleh diwujudkan susulan perubahan demografi tersebut, termasuk melalui konsep silver economy ataupun ekonomi perak.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara perkara yang akan diberi perhatian ialah peluang pekerjaan untuk warga emas, peluang ekonomi berkaitan penuaan, ekonomi penjagaan serta usaha menjadikan komuniti dan bandar lebih mesra usia.
“Bagaimana kita dapat mewujudkan peluang dan potensi ekonomi terkait juga dengan dinamik yang berubah ini. Dari segi temanya memang kita guna pakai silver economy,” katanya.
Ekonomi perak merujuk kepada satu sistem pasaran, produk dan perkhidmatan yang dirangka khusus untuk memenuhi keperluan, kehendak serta kuasa beli golongan warga emas dan pesara, seiring dengan peralihan Malaysia ke arah status negara menua.
Beliau berkata aspek kebajikan dan penjagaan warga emas perlu dilihat bukan sebagai satu bentuk zero-sum game, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan manfaat yang boleh diberikan kepada negara dan keluarga.
Katanya, peningkatan kebajikan warga emas juga berpotensi memberi pulangan kepada ekonomi negara sekiranya disokong dengan struktur dan sistem yang bersesuaian.
Akmal Nasrullah berkata pada masa sama, pelaburan terhadap generasi muda perlu terus diberi perhatian dan menjadi sebahagian daripada persiapan negara menghadapi perubahan demografi.
“Pelaburan terhadap generasi muda ini tidak boleh menjadi satu perkara terpinggir, malah menjadi asas untuk mempersiapkan diri kita menuju ke negara tua,” katanya.
Beliau berkata Kertas Putih berkenaan akan mengupas isu itu dengan lebih menyeluruh sebelum kerajaan meluncurkan dokumen rancangan penuh bagi menghadapi negara tua selepas itu.
Katanya, isu penuaan penduduk merupakan perkara yang melangkaui kepentingan politik dan generasi kerana ia berkait dengan keupayaan Malaysia mengekalkan keseimbangan antara perubahan demografi dengan keperluan ekonomi negara.
— BERNAMA
