
JADIKAN KEPELBAGAIAN KEKUATAN MALAYSIA, PERKUKUH SEMANGAT KEBERSAMAAN – FADILLAH
KUALA LUMPUR,. Masyarakat pelbagai kaum di negara ini perlu menyemarakkan semangat kebersamaan dengan menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan untuk memperkukuh perpaduan serta keharmonian negara, kata Timbalan Perdana Mereri Fadillah Yusof.
Bersempena dengan sambutan Deepavali hari ini, beliau berkata perayaan Pesta Cahaya membawa makna kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi keburukan serta harapan mengatasi segala kesulitan.
“Dalam kepelbagaian inilah terletaknya kekuatan Malaysia. Perbezaan bukan alasan untuk kita berpecah, sebaliknya menjadi asas untuk kita saling memahami, menghormati dan memperkukuh perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Fadillah berkata dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi dan cabaran kehidupan, semangat perayaan itu mengingatkan rakyat mengenai pentingnya kekuatan, kesabaran, keprihatinan dan harapan untuk terus melangkah ke hadapan.
Beliau berkata kerajaan MADANI akan terus mempergiat usaha menangani kos sara hidup, memperkukuh pendapatan isi rumah, menjamin bekalan keperluan asas serta memperluas peluang ekonomi supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sambutan Deepavali tahun ini membawa kebahagiaan serta kenangan indah bersama keluarga dan insan tersayang.
“Selamat Menyambut Deepavali saya ucapkan buat semua yang menyambutnya. Semoga sambutan tahun ini membawa kebahagiaan dan kenangan yang indah bersama keluarga serta insan tersayang,” katanya.
— BERNAMA
