
ADVOKASI NUKLEAR: PNM SEDIA JALIN KERJASAMA, SEBAR LUAS ILMU
KUALA LUMPUR,. Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terbuka untuk memperluas kerjasama strategik dalam advokasi nuklear bagi meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai kegunaan teknologi berkenaan dalam kehidupan.
Ketua Pengarah PNM Edy Irwan Zulkafli berkata penglibatan Agensi Nuklear Malaysia dalam Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 membuka ruang untuk meneliti usaha lanjut menyebarluaskan ilmu berkenaan kepada orang ramai.
“Jadi, sebagai rakan kolaborasi, kami percaya kami akan melihat lebih terperinci bagaimana perkara-perkara ini dapat disebarluaskan.
“Kami mungkin boleh sediakan sesuatu untuk masyarakat dan peminat sains, umpamanya,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasmian Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 di PNM di sini hari ini.
Beliau berkata penerangan mengenai aplikasi teknologi nuklear dalam bidang perubatan sempena program itu membantu pengunjung mengenali kegunaannya yang sebelum ini mungkin kurang diketahui mereka.
Edy Irwan ketika mengulas peranan penerbitan buku berkaitan nuklear berkata bahan bacaan fizikal terus penting dalam membantu masyarakat mendalami sesuatu bidang walaupun teknologi digital semakin berkembang.
“Walaupun kita bergerak ke arah teknologi dan AI, namun buku itu masih lagi penting.
“Oleh itu, penerbitan-penerbitan fizikal ini banyak membantu masyarakat kita untuk terus membaca secara fizikal,” katanya.
Beliau berkata PNM mempunyai jutaan bahan dan sumber ilmu yang boleh dikongsikan kepada masyarakat, ketika kesahihan maklumat di media sosial pula semakin sukar dipastikan.
Minggu Literasi Media dan Maklumat 2026 yang berlangsung pada 24 dan 25 Okt menghimpunkan bengkel, pertandingan, sesi bicara, pameran dan aktiviti interaktif merangkumi literasi digital, kecerdasan buatan, kewangan, sains, bahasa serta kreativiti.
— BERNAMA
