
FADILLAH JUNJUNG KASIH PENGURNIAAN S.P.M.S OLEH SULTAN SELANGOR
KUALA LUMPUR,. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah atas pengurniaan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) kepadanya.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau menyifatkan pengurniaan itu sebagai amanah dan tanggungjawab untuk terus berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara.
“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, kurniaan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab untuk patik terus berkhidmat dengan penuh komitmen dan istiqamah demi agama, bangsa dan negara tercinta,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mendoakan agar Sultan Sharafuddin dan seluruh kerabat diraja Selangor sentiasa dikurniakan kesihatan berpanjangan serta dilimpahi rahmat Allah SWT.
“Allah Lanjutkan Usia Tuanku,” katanya.
S.P.M.S membawa gelaran Dato’ Seri kepada penerima lelaki dan Datin Paduka Seri kepada penerima wanita, manakala isteri penerima lelaki menggunakan gelaran Datin Seri.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama kepada enam individu bersempena dengan Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.
— BERNAMA
