KERAJAAN DISARAN BERI BANTUAN KEWANGAN KELUARGA RAKYAT MALAYSIA HILANG DI NEPAL

KERAJAAN DISARAN BERI BANTUAN KEWANGAN KELUARGA RAKYAT MALAYSIA HILANG DI NEPAL

KUALA LUMPUR,. Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian bantuan kewangan kepada semua keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang akibat bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal pada Ogos lepas.

Perkara itu dicadangkan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang turut menggesa jabatan atau kementerian berkaitan supaya mempertimbangkan moratorium bagi pinjaman perumahan, pinjaman bank peribadi, serta pembelian kenderaan untuk semua mangsa terbabit.

“Saya ingin merayu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang akan membentangkan Belanjawan 2027 esok, agar mempertimbangkan bantuan kewangan kepada semua keluarga mangsa yang terlibat,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari sini.

Beliau turut meminta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memudah cara urusan penyerahan dokumen seperti sijil kematian kepada keluarga terjejas susulan pemakluman bahawa pihak berkuasa Nepal akan menamatkan operasi mencari dan menyelamat serta mengisytiharkan mangsa yang belum ditemui sebagai meninggal dunia.

Sementara itu, Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) berkata lembaga berkenaan memutuskan untuk menyampaikan sumbangan prihatin sebanyak RM5,000 kepada setiap keluarga mangsa tragedi yang beragama Hindu dan berasal dari Pulau Pinang.

Timbalan Pengerusi LWHPP Senator Dr R.A. Lingeshwaran berkata bantuan tersebut boleh dimohon oleh keluarga yang layak melalui kod respons pantas (QR) yang dipaparkan di akaun Facebook dan laman sesawang rasmi lembaga itu.

Sebanyak 54 rakyat Malaysia masih hilang susulan banjir dahsyat dan tanah runtuh yang melanda wilayah sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This