MALAYSIA SASAR EMAS SULUNG, PERLUAS PENYERTAAN KEPADA 32 BIDANG DI WSC 2028

MALAYSIA SASAR EMAS SULUNG, PERLUAS PENYERTAAN KEPADA 32 BIDANG DI WSC 2028

SEPANG,. Malaysia menyasarkan pingat emas sulung dalam Pertandingan Kemahiran Sedunia (WSC) 2028 di Aichi, Jepun menerusi persiapan awal dua tahun serta peluasan penyertaan kontinjen negara kepada sekurang-kurangnya 32 daripada 64 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Ketua Kontinjen Malaysia ke WSC Shanghai 2026 yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata sasaran seterusnya pada edisi WSC 2028 di Aichi ialah meningkatkan penyertaan kontinjen negara kepada sekurang-kurangnya 50 peratus daripada bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Beliau berkata persiapan rapi itu tidak boleh ditangguhkan, sebaliknya perlu digerakkan serta-merta dengan memperkukuh sinergi merentas 12 kementerian yang mengendalikan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.

“Persiapan kena buat dari sekarang kerana melibatkan pertandingan peringkat kebangsaan, ASEAN dan Asia, barulah kita akan sampai ke peringkat dunia,” katanya kepada Bernama selepas majlis sambutan kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad menyifatkan WSC sebagai temasya “Olimpik” bagi bidang kemahiran dan usaha memburu kilauan pingat emas sulung kini menjadi agenda utama sepertimana misi Road to Gold sukan negara.

“Pingat emas itu bukan sekadar emas, sebaliknya memberikan simbol keupayaan kita meningkatkan dan memartabatkan standard TVET negara di persada antarabangsa,” katanya.

Ahmad berkata jurang mata peserta negara dengan pemenang podium di pentas antarabangsa sebenarnya sangat tipis, sekali gus membuktikan pelatih tempatan memiliki potensi besar untuk merangkul emas.

Pada temasya WSC Shanghai 2026, Malaysia melakar sejarah pencapaian terbaik sejak mula menyertai WSC selepas membawa pulang 14 pingat dengan satu gangsa dan 13 Pingat Kecemerlangan serta meletakkan 11 daripada 21 bidang dalam kelompok 10 terbaik dunia.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This