
JUWAI IQI JANGKA PUSAT DATA MALAYSIA NAIK EMPAT KALI GANDA MENJELANG AKHIR TAHUN
KUALA LUMPUR,. Kapasiti pusat data Malaysia dijangka naik hampir empat kali ganda menjelang akhir tahun, disokong oleh kemajuan pembangunan negara yang kukuh, menurut Juwai IQI.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kashif Ansari berkata pemaju sedang melaksanakan langkah kemampanan dan sosial baharu untuk mengurangkan penggunaan air serta tenaga.
“Keperluan kandungan tempatan juga meningkatkan kelebihan kepada ekonomi Malaysia. Kami menjangkakan operasi pusat data di Malaysia akan mencapai kira-kira 2,055 megawatt (MW) menjelang hujung tahun ini.
“Ini hampir empat kali ganda paras suku pertama 2025 semasa hanya 522 MW beroperasi,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Kumpulan teknologi hartanah antarabangsa itu menjangkakan lapan hingga sembilan gigawatt (GW) akan ditambah kepada kapasiti Malaysia pada 2030.
Menurut Kashif, tidak seperti di sesetengah pasaran, yang mana pemaju membina secara spekulatif sebelum mereka mempunyai pelanggan mendaftar, kebanyakan pusat data yang baru dibina di Malaysia sudah mempunyai pengguna yang komited.
Kapasiti pra-pajakan di negara ini juga telah meningkat daripada kira-kira 0.85 GW pada separuh pertama 2025 kepada 1.2 GW pada separuh pertama tahun ini, menjadikan Malaysia, negara kedua di Asia Pasifik selepas Jepun, yang mencerminkan pengukuhan dan kawal selia yang baik industri di negara ini.
“Satu lagi permintaan awam ialah pusat data perlu memberikan lebih banyak pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Malaysia. Inilah sebabnya Selangor menetapkan semua pusat data baharu menggunakan 30 peratus kandungan firma Malaysia yang mereka wajib pasang di kemudahan mereka.
“Di peringkat persekutuan, kerajaan juga menggalakkan pusat data menggunakan kandungan tempatan, dengan insentif cukai, dan Malaysia telah berhenti meluluskan pusat data baharu yang bukan projek berfokuskan kecerdasan buatan (AI), gred hiperskala, berkecekapan tinggi,” katanya.
Projek-projek ini membawa pelaburan paling banyak di samping menjadi yang paling cekap dengan tenaga dan air.
Beliau berkata walaupun Malaysia telah membuat tuntutan yang banyak ke atas industri data, kelebihan daya saingnya telah membantu untuk terus menarik jenis pembangun pusat data yang betul.
“Malaysia berada di landasan untuk menjadi pasaran pusat data terbesar di Asia Tenggara menjelang 2030, dan ia akan menjadi jauh lebih mampan berbanding hari ini,” kata Kashif.
— BERNAMA
