BRJHM 2026;  kini dibuka menyasarkan 5,000 peserta pelari tempatan dan antarabangsa

BRJHM 2026; kini dibuka menyasarkan 5,000 peserta pelari tempatan dan antarabangsa

KUALA LUMPUR,. Pendaftaran bagi Bank Rakyat Johor Half Marathon (BRJHM) 2026 kini dibuka kepada pelari tempatan dan antarabangsa dengan acara itu dijadualkan berlangsung di Iskandar Puteri, Johor pada 7 November depan.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan semalam berkata, BRJHM 2026 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai USD15,400 dan menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta.

Menurutnya, penganjuran acara berkenaan mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam menggalakkan gaya hidup aktif dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat, di samping menyokong industri pelancongan sukan di negeri Johor.

“Dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai USD15,400, BRJHM 2026 menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta,” katanya.

Acara larian JomRun yang turut mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Kerajaan Negeri Johor ini telah menerima lebih 2,000 pendaftaran setakat ini, sekali gus mencerminkan sambutan awal yang amat menggalakkan.

BRJHM 2026 menawarkan tiga kategori larian, iaitu separuh maraton 21.1 kilometer (km), 10 km dan 5 km. Kategori 10 km dan 5 km merupakan acara bukan kompetitif yang terbuka kepada peserta daripada semua peringkat umur.

Sementara itu, acara separuh maraton 21.1 km akan dipertandingkan secara kompetitif menerusi kategori lelaki dan wanita bagi peserta Malaysia serta antarabangsa berusia antara 18 hingga 39 tahun. Kategori Veteran pula dibuka kepada peserta berusia 40 tahun dan ke atas.

Bank Rakyat berkata, BRJHM 2026 bukan sekadar platform untuk mendekati masyarakat, malah menjadi wadah untuk menyatukan komuniti menerusi semangat kesukanan dan kebersamaan, sejajar dengan aspirasi Untuk Semua Bank Rakyat.

“Ianya bukan sekadar platform untuk Bank Rakyat mendekati masyarakat, BRJHM 2026 turut menjadi wadah untuk menyatukan komuniti menerusi semangat kesukanan dan kebersamaan, sejajar dengan aspirasi Untuk Semua Bank Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, kemeriahan BRJHM 2026 akan bermula lebih awal menerusi Bank Rakyat Sports Festival yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 November ini nanti.

Festival berkenaan akan menghimpunkan pelbagai jenama sukan yang menawarkan promosi eksklusif dan aktiviti interaktif untuk peserta serta pengunjung.

Festival sukan itu turut diadakan serentak dengan sesi pengambilan kit larian, dengan lokasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Bank Rakyat dan media sosial JomRun.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web atau aplikasi JomRun di https://www.jomrun.com/event/BankRakyatJohorHalfMarathon atau dengan mengimbas kod QR rasmi yang tertera pada bahan promosi BRJHM 2026.

Bank Rakyat turut menggalakkan orang ramai mendaftar segera kerana jumlah penyertaan adalah terhad.

Bagi setiap pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat pula, mereka layak menikmati diskaun 10 peratus bagi yuran pendaftaran.

— GERBANGPOST

CATEGORIES
Share This