
LARIAN DENAI TUNGGUL MELATI KIAN TARIK MINAT PESERTA ANTARABANGSA
DENGKIL,. (SELANGOR) Selepas julung kali dianjurkan tahun lepas dengan hanya 700 peserta, Tunggul Melati Trail (TMT) kini pantas muncul sebagai tarikan pelancongan sukan bertaraf antarabangsa apabila menghimpunkan lebih 1,500 pelari dari 25 negara menerusi laluan lasak merentasi dua negeri.
Edisi kedua yang berlangsung dari 4 hingga 6 Sept itu mempertandingkan enam kategori iaitu 85 kilometer (km), 65km, 40km, 15km, Cabaran Segmen 10.5km dan 5km, membawa peserta merentasi bukit berhutan, laluan berbatu serta panorama menarik yang mengingatkan kepada pemandangan ‘Grand Canyon’ dan landskap safari di sekitar Sepang, Selangor serta Nilai, Negeri Sembilan.
Namun, di sebalik pemandangan indah itu tersimpan cabaran ketahanan yang cukup mencabar.
Peserta perlu mengerah tenaga menempuh pendakian teknikal, kekal berhati-hati ketika menuruni cerun curam dan berbatu, selain berdepan cuaca panas terik serta kelembapan tinggi di laluan terbuka yang kurang teduhan.
Gabungan bentuk muka bumi mencabar, keadaan perlumbaan yang sukar dan kepelbagaian landskap itu memberikan identiti tersendiri kepada TMT, sekali gus menarik pelari yang mahukan pengalaman lebih daripada sekadar perlumbaan denai biasa.
Walaupun masih baharu dalam arena larian denai di Malaysia, TMT semakin mengukuhkan profil antarabangsanya apabila penyertaan meningkat lebih dua kali ganda daripada 700 pelari mewakili 13 negara tahun lepas kepada 1,525 peserta dari 25 negara tahun ini.
Peningkatan reputasi itu turut menyaksikan TMT dicalonkan bagi “Asia Trail Master 2026”.
Cabaran itu dirasai sendiri peserta kali pertama TMT, Halimatun Saadiah Mat Nor, 33, yang menyertai kategori 65km dengan laluan melibatkan pendakian berterusan, penurunan curam serta peningkatan altitud melebihi 2,300 meter.
Berlari pada waktu malam menambah lagi kesukaran apabila dia perlu mengekalkan fokus ketika melalui laluan dalam keadaan gelap.
“Cuaca panas, kelembapan tinggi dan bukit bukau yang seakan tiada penghujung benar-benar menguji kemampuan saya.
“Menjelang penghujung perlumbaan, saya rasa seperti hendak menangis dan sering tertanya-tanya bila agaknya saya akan sampai ke garisan penamat,” katanya.
Di sebalik cabaran itu, Halimatun muncul juara kategori Terbuka Wanita 65km dengan catatan masa 10 jam 38 minit 33 saat.
Kategori 85km pula memberikan ujian lebih getir apabila juara Terbuka Lelaki Mohamad Amierul Amin Shamsul Kamal, 31, perlu mengimbangi keupayaan teknikal dengan strategi perlumbaan yang teliti ketika merentasi bukit curam serta laluan lebih sesuai untuk berlari melalui kawasan hutan, ladang kelapa sawit dan jalan raya.
Amierul yang menamatkan perlumbaan dalam masa 12 jam 15 minit 50 saat berkata siri pendakian dan penurunan tanpa henti lebih mencabar daripada jangkaannya.
“Laluan ini sangat teknikal sehingga sukar untuk mengekalkan rentak larian. Bukit beralun yang berterusan benar-benar menguji kekuatan mental dan memerlukan saya mengawal rentak serta tenaga dengan teliti,” katanya.
Laluan 85km itu juga tidak kurang mencabar buat peserta dari Filipina, Ritzy Amor Ectin, yang kembali ke TMT selepas menyertai kategori 55km tahun lepas sebelum meningkatkan jarak kepada 85km tahun ini.
“Tahun lepas, saya menyertai perlumbaan 55km dan benar-benar keletihan selepas itu.
“Tahun ini saya datang dengan persediaan lebih baik dan menjangkakan cabaran lebih sukar, tetapi laluannya jauh lebih teknikal daripada yang saya jangka sehingga ada bahagian yang hampir mustahil untuk berlari.
“Walaupun saya memang gemarkan laluan teknikal, laluan ini amat sukar terutama apabila kami perlu berlari dalam gelap,” kata peserta berusia 35 tahun itu yang menjuarai kategori Terbuka Wanita 85km dengan catatan 14 jam 54 minit 22 saat.
Pengarah Pasak Adventure Mohammad Fazreen Idham Mohd Jais berkata TMT direka untuk menawarkan pengalaman lebih daripada sekadar cabaran fizikal menamatkan perlumbaan denai.
“TMT lebih daripada sekadar larian denai. Ia bukan semata-mata mengenai perlumbaan, tetapi turut memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan alam semula jadi serta merasai pengalaman yang benar-benar berbeza sepanjang laluan,” katanya.
Penganjuran acara itu turut memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitar apabila kira-kira 3,000 pengunjung dianggarkan membelanjakan antara RM900,000 hingga RM1.1 juta bagi penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, logistik serta perkhidmatan tempatan lain.
Didorong perkembangan pesat TMT yang baru memasuki edisi kedua, Fazreen berkata pihak penganjur kini menyasarkan untuk menjadikannya sebagai jenama larian denai tempatan terkemuka yang mempunyai tarikan antarabangsa.
“Kami tidak mahu perjalanan ini berakhir di sini. Kami mahu TMT kembali dengan lebih kukuh pada tahun-tahun akan datang, membina identitinya sendiri dalam arena larian denai Malaysia yang semakin kompetitif serta menarik bukan sahaja pelari tempatan, malah lebih ramai peserta antarabangsa,” katanya kepada Bernama.
— BERNAMA
