SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 dirasmikan penuh gilang-gemilang

SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 dirasmikan penuh gilang-gemilang

SHAH ALAM,. Dengan gimik pancaran laser dan percikan api menyalakan obor kejohanan, Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 dirasmikan penuh gilang-gemilang di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam Sabtu.

Ia sekali gus menandakan bermulanya perjuangan lebih 5,000 atlet dari 14 negeri termasuk Brunei Darussalam untuk memburu kejuaraan.

Bertemakan ‘Rentak Kita Aksi Kita’, temasya dwitahunan itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selepas kali terakhir dianjurkan di negeri itu 28 tahun lepas.

Turut hadir menteri-menteri persekutuan, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta dif-dif kenamaan dari semua 15 kontinjen negeri yang mengambil bahagian.

Antara yang hadir mewakili Kerajaan Sarawak ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr Ripin Lamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan, ADUN Tellian Royston Valentine dan ADUN Krian Friday Belik.

Majlis dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri oleh 31 anggota Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) selepas persembahan pembukaan kebudayaan negeri Selangor.

Ia diteruskan dengan perarakan masuk 15 kontinjen SUKMA dan Para SUKMA, dimulai kontinjen Johor dan diakhiri kontinjen tuan rumah Selangor.

Sarawak selaku juara bertahan tampil membawa kekuatan seramai 983 anggota merangkumi seramai 763 atlet untuk memburu sasaran 75 pingat emas bagimempertahankan kejuaraan.

Dengan membawa slogan ‘One Family, One Mission, Sarawak Champion’, kontinjen Sarawak tampil sebagai antara pencabar utama edisi kali ini.

Mengetuai kontinjen Sarawak dalam perarakan tersebut ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu selaku Ketua Kontinjen (CDM) SUKMA dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Dr Mohammad Razi Sitam selaku CDM Para SUKMA.

Manakala atlet tinju Sarawak Khairul Hazami Sulam diberi peranan membawa bendera Ibu Pertiwi, mengiringi atlet hoki Oleaya Octavia dan atlet Para Powerlifting Bibiana Ahmad yang membawa sepanduk kontinjen.

Upacara menaikkan bendera SUKMA dan Para SUKMA XXII kemudiannya disempurnakan oleh tujuh anggotaTentera Laut Diraja Malaysia (TUDM) sebelum diteruskan dengan simbolik nyalaan obor kejohanan.

SUKMA XXII yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos mempertandingkan sebanyak 37 jenis sukan dan 474 acara.

Manakala Para SUKMA akan berlangsung dari 5 hingga 10 September 2026 dengan mempertandingkan 10 jenis sukan.

CATEGORIES
TAGS
Share This