Institut REHDA Sambut Baik Model Perumahan Mampu Milik Berasaskan Pendapatan

Institut REHDA Sambut Baik Model Perumahan Mampu Milik Berasaskan Pendapatan

KUALA LUMPUR,. Institut REHDA menyambut baik cadangan untuk menetapkan harga rumah mampu milik berdasarkan kemampuan kewangan, yang mengambil kira pendapatan isi rumah setempat dan permintaan sebenar, berbanding had seragam RM300,000.

Menurut institut penyelidikan di bawah Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) itu, penanda aras berkenaan perlu dikaji secara berkala, berasaskan pendapatan serta mekanisme agihan yang lebih khusus mengikut lokasi.

“Selain itu, harga rumah juga perlu mengambil kira kos sebenar penyediaan perumahan,” menurut kenyataan itu susulan keputusan untuk menggubal dan meminda empat undang-undang berkaitan perumahan di bawah Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035.

Sebanyak 82 peratus pemaju yang mengambil bahagian dalam kajian Housing for All mendapati harga terkawal untuk rumah yang tertakluk kepada kawalan harga adalah lebih rendah berbanding kos sebenar pembinaan, berikutan peningkatan kos tanah, pembinaan, buruh, pematuhan dan infrastruktur.

Institut REHDA turut menyokong perancangan berasaskan data dengan mengambil kira demografi, keperluan dan permintaan sebenar.

Penggunaan data menyeluruh merangkumi isi rumah, pendapatan, demografi, stok perumahan, kadar kekosongan, unit siap tidak terjual serta corak mobiliti, boleh membantu menangani ketidakpadanan bekalan dan permintaan, rumah tidak terjual serta projek terbengkalai.

“Ia membantu mengelakkan pembinaan berlebihan dalam pasaran yang lemah, selain memastikan keperluan perumahan sebenar dipenuhi di kawasan yang mempunyai permintaan. Data yang lebih baik juga membolehkan Malaysia beralih daripada hanya bertindak balas terhadap projek terbengkalai kepada mengenal pasti risiko dan mencegah projek terbengkalai lebih awal,” menurut kenyataan itu.

Institut REHDA turut menyambut baik tumpuan DRN terhadap penuaan populasi, termasuk penyesuaian skim pembiayaan perumahan untuk warga emas, geran pengubahsuaian serta insentif kepada pemaju swasta untuk membangunkan pusat penjagaan warga emas yang kondusif.

Pendekatan itu semakin penting berikutan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan rakyat berusia 65 tahun dan ke atas merangkumi lapan peratus daripada jumlah penduduk pada 2025, meningkat daripada 7.6 peratus pada 2024.

“Malaysia berada pada landasan untuk menjadi sebuah ‘negara tua’ menjelang 2048, apabila rakyat berusia 65 tahun dan ke atas mencapai 14 peratus daripada jumlah penduduk. Perumahan yang ditawarkan pada masa hadapan perlu memenuhi keperluan isi rumah yang berbeza … ,” menurut Institut REHDA.

Dalam aspek pembiayaan perumahan, institut itu mengalu-alukan cadangan, termasuk Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), pembiayaan berperingkat, pemilikan bersama dan pinjaman gadai janji kadar tetap jangka panjang, khususnya ketika kelayakan pinjaman menjadi halangan utama kepada bakal pembeli.

Institut REHDA juga akan terus menyokong usaha itu melalui latihan, penyelidikan dan pendidikan, termasuk kerjasama penyelidikan dan latihan serta platform seperti Malaysia-Cambridge Urban Platform (MCUP) bagi memperkukuh pengukuran kemampuan perumahan, analitik data raya, perancangan bandar dan penggubalan dasar berasaskan bukti.

Sementara itu, Pengerusi Institut REHDA Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip dalam kenyataan sama berkata DRN 2026-2035 mencerminkan pelbagai isu yang telah diperjuangkan oleh institut berkenaan, khususnya penawaran berasaskan permintaan, respons terhadap perubahan demografi selain pembiayaan yang lebih fleksibel.

“Kejayaan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah rumah yang dibina atau dimiliki, tetapi sama ada rakyat dapat memiliki rumah yang sesuai, di lokasi yang sesuai, serta mampu menanggung komitmen kewangan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This