LTdL 2026: 20 Pasukan Termasuk Dua Berstatus Dunia Sahkan Sertai Edisi Ke-30

LTdL 2026: 20 Pasukan Termasuk Dua Berstatus Dunia Sahkan Sertai Edisi Ke-30

KUALA LUMPUR,. Dua pasukan berstatus WorldTeam dan lapan ProTeam disahkan akan menghangatkan edisi ke-30 Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang dijadualkan bermula pada 27 Sept hingga 4 Okt ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata melengkapkan senarai 20 pasukan bagi saingan tahun ini adalah sembilan pasukan Benua (Continental) dan pasukan kebangsaan Malaysia bagi mengharungi cabaran lapan peringkat LTdL 2026 yang meliputi jarak sejauh 1,285.5 kilometer.

Beliau bagaimanapun berkata walaupun jumlah pasukan berkurang berbanding 22 pasukan pada edisi lepas, ia masih menepati kuota perlumbaan berstatus ProSeries yang ditetapkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“(Faktor kekurangan) bajetlah. Macam saya maklumkan tadi kami bayar yuran penampilan dengan elaun perjalanan untuk pasukan. Kalau WorldTeam, dia punya kadar lebih tinggi. Kami kena jimatkan bajet sikit, jadi kami kurangkan (kepada) dua pasukan itu.

“Tahun depan kami akan buka balik insya-Allah. Kami ada banyak masa untuk cari penaja, dapatkan lebih banyak pembiayaan dan kami akan jemput balik pasukan lebih ternama,” katanya semasa sidang media pengumuman pasukan LTdL 2026 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di sini hari ini.

Dua pasukan WorldTeam yang mengesahkan penyertaan ialah XDS Astana dari Kazakhstan dan pasukan Belanda Picnic PostNL.

Lapan pasukan ProTeam pula adalah Tudor Pro Cycling Team (Switzerland); Caja Rural-SegurosRGA, Equipo Kern Pharma dan Burgos-Burpellet (Sepanyol); TotalEnergies dan Unibet Rose Rockets (Perancis); BardianiCSF-Saber (Itali) dan muka baharu Modern Adventure Pro Cycling dari Amerika Syarikat.

Sembilan pasukan benua terdiri daripada Terengganu Cycling Team dan Malaysia Pro Cycling dari Malaysia, Thailand Continental Cycling Team (Thailand), 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines (Filipina), Nusantara Cycling Team (Indonesia), WheelTop Rotor Chengdu Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), KSPO (Korea Selatan) dan St George Continental Cycling Team (Australia).

Dalam pada itu, Jefri yakin mutu perlumbaan tahun ini bertaraf tinggi dan sukar diramal dengan adanya tiga peringkat pendakian sukar di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Pasukan Astana, Picnic dan Tudor menyertai ketiga-tiga jelajah terbesar dunia (Grand Tour), iaitu Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana. Begitu juga dengan TotalEnergies dan Caja Rural. Bardiani dan Unibet pula berlumba di Giro manakala Kern Pharma dan Burgos turut bersaing di Vuelta.

“Jadi sembilan pasukan yang mengesahkan penyertaan kali ini tidak kurang handalnya dalam kancah perlumbaan bertaraf tinggi dunia dan saya pasti mereka akan menghantar kombinasi pelumba yang kuat untuk memastikan kemenangan,” katanya.

Jefri juga berkata MSN selaku penganjur LTdL teruja untuk melihat senarai nama pelumba yang akan dihantar oleh pasukan kerana faktor bentuk laluan tahun ini dianggap antara yang sukar dan mencabar sepanjang sejarah penganjurannya sejak 1996.

“Ada sesetengah pasukan sudah menghantar nama pelumba tetapi kami yakin mereka akan mengubahnya pada saat-saat akhir dan menyenaraikan barisan terbaik kerana keputusan terbaik bermakna mereka turut mengutip mata-mata penting demi ranking mereka, terutama dalam perlumbaan pada hujung musim,” katanya.

Jelajah berstatus 2.ProSeries dalam kalendar Asia-UCI itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This