KESUMA; perkasa lebih 6,000 rakyat Malaysia program Jelajah AI MyMahir TalentCorp

KESUMA; perkasa lebih 6,000 rakyat Malaysia program Jelajah AI MyMahir TalentCorp

KUALA LUMPUR,. Lebih 6,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat telah diperkasa dengan kemahiran kecerdasan buatan (AI) menerusi program Jelajah AI MyMahir TalentCorp, sebuah inisiatif Kerajaan MADANI yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi agensinya, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Program itu diteruskan menerusi Jelajah AI MyMahir TalentCorp Edisi Bandar Tun Razak yang berlangsung di Hotel Zecon pada Khamis menghimpunkan lebih 450 peserta.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail.

Dirangka secara praktikal bagi meningkatkan literasi AI dalam kalangan rakyat, program itu menawarkan modul pembelajaran yang mudah difahami, aktiviti amali serta bimbingan langsung daripada fasilitator industri termasuk EY.

Pendekatan tersebut memberi peluang kepada peserta untuk mencuba sendiri penggunaan AI dalam situasi sebenar, sekali gus membantu mereka memahami teknologi itu secara lebih berkesan.

Peserta turut dibimbing untuk memperkukuh kemahiran, meningkatkan produktiviti serta menggunakan AI secara yakin dan bertanggungjawab dalam pembelajaran, pekerjaan, pembangunan kerjaya, perniagaan dan kehidupan seharian.

Mereka juga mengikuti latihan simulasi menggunakan aplikasi AI bagi menghasilkan video, poster, bahan promosi dan bahan pembelajaran yang boleh terus dimanfaatkan mengikut keperluan masing-masing.

Wan Azizah berkata, akses kepada ilmu dan kemahiran AI perlu diperluaskan supaya manfaat teknologi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata, AI mampu membantu pelajar menimba ilmu dengan lebih berkesan, pekerja meningkatkan kemahiran, pencari kerja memperkukuh kebolehpasaran serta usahawan mengembangkan perniagaan melalui penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

“Inilah pendekatan Kerajaan MADANI, iaitu memastikan kemajuan teknologi bukan hanya dinikmati oleh kelompok tertentu, tetapi benar-benar membuka peluang kepada semua lapisan rakyat,” katanya.

Selain diperkenalkan kepada asas AI dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab, peserta turut didedahkan kepada perspektif industri mengenai peranan AI dalam pekerjaan dan ekonomi masa hadapan. Mereka juga menerima MyMahir AI Skills Credit bernilai RM5,000 sebagai sokongan untuk meneruskan pembangunan kemahiran dalam bidang berkaitan AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Biruntha Mooruthi berkata, pendekatan amali program itu memastikan peserta memperoleh pengetahuan yang boleh terus digunakan.

“Kami mahu rakyat bukan sekadar tahu tentang AI, tetapi yakin menggunakannya untuk belajar, bekerja, membina kerjaya dan mengembangkan perniagaan.

“Sehingga hari ini, lebih 6,000 peserta menunjukkan minat untuk memahami teknologi baharu. Tanggungjawab kami adalah memastikan pembelajaran tersebut mudah diakses, relevan dan dekat dengan keperluan sebenar mereka,” katanya.

Setakat ini, Jelajah AI MyMahir TalentCorp telah dilaksanakan di 11 kawasan Parlimen termasuk Kota Kinabalu, Sepanggar, Papar, Bangi, Sungai Buloh, Kluang, Parit Sulong, Sekijang, Paya Besar, Alor Gajah dan Port Dickson.

Selepas Bandar Tun Razak, siri jelajah itu akan diteruskan di Hang Tuah Jaya, Kota Melaka, Batu Sapi dan Damansara sebagai sebahagian daripada usaha TalentCorp memperluaskan program berkenaan ke seluruh negara bagi melahirkan rakyat dan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, produktif serta bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.

CATEGORIES
Share This