Arthur Joseph Kurup, Merasmikan Sambutan Hari Ahli Geologi (HAG 2026)

Arthur Joseph Kurup, Merasmikan Sambutan Hari Ahli Geologi (HAG 2026)

PUTRAJAYA,. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah merasmikan Sambutan Hari Ahli Geologi Peringkat Kebangsaan 2026 (HAG 2026) yang julung kali diadakan, menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memartabatkan profesion geologi di Malaysia.

Acara yang berlangsung buat pertama kali di Zenith Hotel Putrajaya pada Isnin dianjurkan hasil kerjasama antara Lembaga Ahli Geologi Malaysia (BoG), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Institut Geologi Malaysia (IGM) dan Persatuan Geologi Malaysia (GSM).

Lebih 200 peserta daripada pelbagai latar belakang menghadiri acara ini, mencerminkan ekosistem geosains yang kukuh dan bersatu selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi.

Mengangkat tema ‘Geologi Memacu Ekonomi, Melindungi Komuniti, Asas Pembangunan Lestari’, sambutan ini menonjolkan kepentingan strategik geologi bukan sahaja sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi berasaskan sumber, malah sebagai benteng keselamatan awam melalui pengurusan risiko geobencana yang bersepadu serta berasaskan sains.

Dalam ucapannya, Arthur menegaskan bahawa ahli geologi memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, kepakaran dalam bidang geologi merangkumi sektor utama seperti perlombongan, tenaga, pembangunan infrastruktur serta pengurusan risiko bencana yang secara langsung menyumbang kepada keselamatan awam dan kesejahteraan negara.

Acara itu turut menyaksikan pelancaran Garis Panduan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Inspektor Lembaga Ahli Geologi, yang akan memperkemas fungsi kawal selia profesion serta meningkatkan kecekapan dan integriti pelaksanaan penguatkuasaan di lapangan.

Buat pertama kali dalam sejarah, sambutan ini memperkenalkan Anugerah Tokoh Geologi yang merangkumi kategori Tokoh Ahli Geologi Lelaki, Tokoh Ahli Geologi Wanita, Tokoh Industri Geologi dan Tokoh Komuniti Geologi sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlang di peringkat nasional dan antarabangsa.

Menyentuh aspek keselamatan awam, Arthur berkata kerajaan memberi penekanan serius terhadap pengurusan risiko bencana geologi termasuk perancangan penubuhan Pusat Bencana Geologi Negara bagi memperkukuh perlindungan komuniti.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkukuh kerangka perundangan sektor ini melalui pembentangan Rang Undang-Undang Survei Geologi dan Geosains di Parlimen menjelang 2027, diikuti dengan penggubalan Dasar Geosains Negara.

Arthur juga menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan komuniti penyelidik untuk terus bekerjasama dalam memajukan sektor geologi secara bertanggungjawab, inklusif dan berlandaskan prinsip kelestarian demi kepentingan generasi akan datang.

CATEGORIES
Share This