Bank Rakyat lancar 20 stesen pengecas elektrik EV, di Menara Kembar Bank Rakyat

Bank Rakyat lancar 20 stesen pengecas elektrik EV, di Menara Kembar Bank Rakyat

KUALA LUMPUR,. Bank Rakyat telah melancarkan 20 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Menara Kembar Bank Rakyat di Jalan Rakyat, di sini semalam, menerusi kerjasama strategik dengan penyedia penyelesaian tenaga lestari, Cenergi SEA Berhad dan Recharge Xolutions.

Inisiatif ini meletakkan institusi kewangan tersebut sebagai antara bank terawal di negara ini yang menawarkan kemudahan pengecas EV di premisnya.

Pelaksanaan infrastruktur pengecasan ini menandakan satu langkah penting dalam agenda kelestarian Bank Rakyat yang lebih luas, bertujuan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik serta menyokong peralihan Malaysia ke arah sistem tenaga yang lebih bersih. Ia juga selari dengan aspirasi negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen bank terhadap tanggungjawab alam sekitar dan kelestarian tenaga.

“Pada masa yang sama, inisiatif ini menyokong usaha kerajaan dalam menangani cabaran rantaian bekalan global melalui pendekatan lestari yang menekankan keselamatan dan kestabilan tenaga,” katanya sambil menambah bahawa pelancaran yang diadakan bersempena Hari Bumi itu menggariskan komitmen bank dalam mengurangkan jejak karbon serta memacu agenda kelestarian negara.

Pelaksanaan pengecas EV ini turut memperkukuh kerjasama berterusan antara Bank Rakyat dan Cenergi, yang sebelum ini melibatkan pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) di cawangan terpilih bagi meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui serta kecekapan tenaga operasi.

Selain itu, bank terus memperkukuh peranannya dalam pembiayaan hijau dengan menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan yang menyokong pelanggan runcit dan perniagaan.

Bagi pelanggan runcit, pembiayaan disediakan untuk penyelesaian gaya hidup mesra alam, termasuk penambahbaikan kecekapan tenaga.

Bagi perniagaan, sokongan pembiayaan diberikan bagi menggalakkan penggunaan teknologi hijau dan operasi rendah karbon.

Bank Rakyat juga giat melaksanakan inisiatif pensijilan Green Building Index (GBI) melalui langkah peningkatan kecekapan tenaga serta pengurusan fasiliti yang mampan di seluruh premisnya, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang terhadap kelestarian alam sekitar.

CATEGORIES
Share This