SPRM perkukuh kerjasama antirasuah menerusi latihan ASEAN-Itali

SPRM perkukuh kerjasama antirasuah menerusi latihan ASEAN-Itali

PUTRAJAYA,. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam memerangi rasuah dan jenayah rentas sempadan menerusi Program Latihan ASEAN-Itali, Rosario Livatino-Integriti dan Antirasuah Berkaitan Jenayah Transnasional baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pada latihan di Rome, Itali, Malaysia diwakili pegawainya Mohd Iqbal Mohd Zain yang kini ditempatkan di Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Program ini diharap dapat mempertingkat keupayaan serantau dalam memerangi rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah rentas sempadan melalui jaringan profesional serta pertukaran kepakaran berterusan antara ASEAN dan Itali,” menurut kenyataan itu.

Program dianjurkan melalui kerjasama Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN mengenai Jenayah Transnasional (SOMTC) dengan inisiatif Diplomasi Kehakiman dan Keselamatan Itali yang dipimpin Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Direktorat Jeneral Hal Ehwal Global, Kementerian Kehakiman dan Jabatan Keselamatan Awam KDN Itali.

Sebanyak 12 pegawai penguat kuasa undang-undang dari lapan negara ASEAN menyertai program lima hari bermula 17 Nov yang dinamakan sempena mendiang hakim Rosario Livatino yang dibunuh kumpulan mafia di Sicily, Itali pada 1990 ketika menjalankan siasatan jenayah terancang.

Sementara itu, Mohd Iqbal dalam kenyataan sama berkata mereka didedahkan mengenai rangka kerja antirasuah Itali, perkongsian amalan terbaik, instrumen kerjasama antarabangsa serta pendekatan pencegahan dan penguatkuasaan dalam membanteras jenayah transnasional.

“Latihan ini bertujuan memperkukuh budaya kedaulatan undang-undang, mempromosikan pendekatan berasaskan integriti serta menguatkan mekanisme kerjasama serantau antara negara anggota ASEAN dan rakan sejawatan Itali dalam bidang antirasuah serta pengubahan wang haram,” katanya.

Beliau berkata panel latihan terdiri daripada pegawai kanan Kementerian Kehakiman Itali, KDN, Kementerian Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa serta Agensi Antirasuah Kebangsaan Itali atau National Anti-Corruption Authority (ANAC).

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This