
5,000 veteran ATM disasar dapat kerja menjelang 2030 Program MYFutureJobs Wira – KESUMA
SUNGAI BULOH,. Seramai 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan bakal mendapat penempatan pekerjaan menjelang 2030 melalui Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira.
Inisiatif ini digerakkan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA), yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM).
Kerjasama ini dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan peralihan kerjaya bekas anggota tentera dilaksanakan secara lebih strategik.
Pertukaran dokumen MoU disaksikan oleh Menteri Pertahanan Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh pada Selasa.
Mohamed Khaled berkata, usaha gabungan PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO akan membantu membangunkan ekosistem bersepadu untuk menghubungkan veteran dengan peluang pekerjaan secara lebih strategik melalui pemetaan pekerjaan berdasarkan lokasi dan keperluan industri.
Beliau menjelaskan bahawa skop kerjasama merangkumi padanan pekerjaan, perkongsian data veteran, integrasi antara Veteran Integrated Benefit System (VIBES) dan MYFutureJobs, serta inisiatif perlindungan sosial yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi veteran.
Beliau menambah bahawa inisiatif ini selaras dengan matlamat MINDEF melalui Dasar Industri Pertahanan Negara dan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035, yang memberi keutamaan kepada pengukuhan laluan kerjaya kedua bagi veteran melalui penyertaan sektor awam dan swasta.
Sementara itu, Ramanan berkata kementeriannya komited untuk mencapai kadar penempatan minimum 45 peratus bagi setiap program intervensi yang dijalankan sepanjang 2026.
“Saya tegaskan bahawa matlamat kita bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, tetapi memastikan veteran ATM memperoleh pendapatan bermaruah yang setara dengan kepakaran dan disiplin yang mereka miliki.
“Pengambilan veteran bukan sahaja membekalkan industri dengan tenaga kerja kompeten, malah merupakan langkah strategik negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.
Ramanan berkata statistik rasmi bagi tempoh 2020 hingga 2025 menunjukkan seramai 5,530 veteran berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Pada 2025, seramai 573 veteran memulakan kerjaya baharu, dengan sektor pembuatan mencatat penempatan tertinggi, diikuti sektor perkhidmatan dan teknikal.
Melalui kerjasama strategik ini, enam inisiatif utama akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran 2,500 pendaftaran veteran dan lebih 1,000 penempatan pekerjaan, termasuk pengesahan identiti veteran oleh JHEV dan PERHEBAT serta integrasi data antara portal MYFutureJobs dan Veteran Integrated Benefit System (VIBES) untuk memperkukuh ketepatan padanan kerjaya.
Lebih 14,000 veteran telah mendaftar di portal MYFutureJobs, menunjukkan kesedaran tinggi terhadap kepentingan transisi kerjaya yang tersusun. Sebagai langkah awal, 14 majikan strategik menyertai sesi temu duga terbuka yang diadakan serentak dengan majlis pemeteraian MoU.
Setakat Januari 2026, Pelan Transformasi PERHEBAT telah menyediakan 259 peluang pekerjaan dan penempatan industri, dengan 121 veteran memperoleh pekerjaan dengan gaji antara RM2,500 hingga RM5,000 dalam sektor aeroangkasa dan pengangkutan melalui kerjasama dengan 69 industri strategik.
Pertukaran dokumen MoU melibatkan Ketua Pengarah PERHEBAT Dato’ Ts Amir Md Noor, Ketua Pengarah JHEV ATM Mejar Jeneral Dato’ Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Dato’ Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, Ketua Setiausaha MINDEF Datuk Lokman Hakim Ali, Pengerusi LTAT Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM (Bersara), Pengerusi PERHEBAT Prof Emerita Datuk Dr Roziah Omar dan Pengerusi Lembaga PERKESO Dato’ Sri Subahan Kamal.
