15 sekolah di Kuala Lumpur terjejas akibat ribut

15 sekolah di Kuala Lumpur terjejas akibat ribut

KUALA LUMPUR,. Kejadian hujan lebat dan ribut yang melanda ibu negara petang semalam mengakibatkan 15 sekolah mengalami pelbagai kerosakan seperti bumbung bangunan tercabut dan pokok tumbang.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur sedang menjalankan semakan dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti dengan lebih mendalam jenis dan tahap kerosakan.

“Buat masa ini, JKR menasihatkan pihak sekolah termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar supaya mengelak daripada memasuki kawasan terjejas sehingga keselamatan lokasi berkenaan dipastikan terlebih dahulu,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini hari ini.

Menurutnya Kementerian Kerja Raya melalui JKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan usaha menyiasat, membaik pulih dan mengawal keselamatan dapat diselaraskan dengan sebaik dan secepat mungkin.

Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, Sekolah Kebangsaan (SK) Yaacob Latif, SK Salak South, SK Danau Perdana, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jalan Imbi, SK Cochrane, SMK (P) Methodist.
Turut terjejas SK Setapak, SK Kg Bharu, SMK Puteri Wilayah (Asrama), SMK Seri Titiwangsa, SK Kementah, SMK Taman Melati, SMK Jinjang dan SK Seri Nilam.

Nanta berkata pihak kementerian turut menerima laporan kerosakan beberapa unit kediaman Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kem Batu Kentonmen Kuala Lumpur membabitkan bumbung dan sengkuap (awning) yang tercabut akibat kejadian itu.

“JKR akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk melakukan pemeriksaan dan penilaian kerosakan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )