Tiga pihak sokong inisiatif Project Blue Dot

Tiga pihak sokong inisiatif Project Blue Dot

KUALA LUMPUR,. Kumpulan BIG CARiNG, rangkaian farmasi terbesar di Malaysia, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tiga pihak bersama Kelab Rotary DiRaja Kuala Lumpur (RCKL DiRaja) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bagi menyokong inisiatif Project Blue Dot.

Inisiatif ini bertujuan untuk memperluaskan akses kepada saringan awal dan pengesanan kanser prostat, khususnya bagi golongan lelaki daripada komuniti B40 serta kumpulan berisiko tinggi.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BIG CARiNG, Chong Yeow Siang; Presiden RCKL DiRaja, Dato’ Dr. Prakash Rao dan Presiden NCSM, Dato’ Dr. Saunthari Somasundaram pada baru-baru ini di Ibu Pejabat Kumpulan BIG CARiNG di Klang, Selangor.

Project Blue Dot, yang diterajui oleh RCKL DiRaja, menaja kos saringan Prostate-Specific Antigen (PSA) dan menyelaras sokongan susulan bagi lelaki yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

NCSM menyediakan kepakaran klinikal termasuk tenaga perubatan, protokol saringan dan analisis makmal, manakala Kumpulan BIG CARiNG memperluas capaian inisiatif ini melalui rangkaian farmasinya.

“Ramai lelaki masih berasa tidak selesa untuk bercakap tentang kesihatan mereka, terutamanya hal yang melibatkan prostat,” kata Dr. Rao.

“Melalui Project Blue Dot, kami ingin menormalisasikan perbualan ini dan menghapuskan stigma. Menjalani saringan adalah tanda kekuatan dan tanggungjawab diri. Pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa.”

Inisiatif ini akan menyediakan 3,000 saringan kanser prostat percuma kepada lelaki Malaysia berusia 45 tahun ke atas daripada kumpulan B40 dan kumpulan berisiko tinggi.

Dr. Malwinder Singh Sandhu, Pakar Onkologi Klinikal dan Ketua Projek Project Blue Dot, menekankan sokongan menyeluruh yang disediakan:

“Project Blue Dot memastikan setiap lelaki yang mempunyai keputusan PSA tinggi tidak dibiarkan tanpa rawatan susulan. Melalui kerjasama dengan Pantai Hospital Kuala Lumpur dan Prince Court Medical Centre, mereka yang mempunyai paras PSA tinggi akan menerima konsultasi pakar urologi secara percuma serta subsidi untuk prosedur diagnostik seperti biopsi dan imbasan PET PSMA. Projek ini turut membantu menampung kos rawatan, termasuk pilihan radioterapi lanjutan.”

Sehingga 20 pesakit B40 akan menerima bantuan kewangan penuh bagi tujuan diagnostik dan rawatan. Project Blue Dot dijadualkan berlangsung sehingga Jun 2026, menunjukkan komitmen jangka panjang terhadap pengesanan awal dan penjagaan berterusan.

“Kanser prostat sering berkembang secara senyap, sebab itulah saringan awal amat penting,” kata Dr. Somasundaram.

“Melalui Project Blue Dot, kami membawa kepakaran perubatan terus ke dalam komuniti, menjadikan saringan pencegahan sebagai sebahagian semula jadi dan penting dalam penjagaan kesihatan lelaki.”

Projek ini juga menyasarkan untuk menjangkau dua juta lelaki Malaysia melalui kempen kesedaran, menyediakan bantuan kewangan dan sokongan emosi untuk rawatan, serta memperkukuh semangat juang pesakit melalui komuniti sokongan Prostate Warriors. Inisiatif ini akan dilancarkan terlebih dahulu di Lembah Klang sebelum diperluas ke seluruh negara.

“Farmasi sering menjadi tempat pertama rakyat Malaysia mendapatkan bantuan apabila berasa tidak sihat,” kata Chong.

“Dengan menawarkan saringan di cawangan BIG dan CARiNG Pharmacy, kami menjadikan pengesanan awal lebih mudah diakses, mampu milik dan selesa. Bersama RCKL DiRaja dan NCSM, kami berharap dapat mengurangkan kebimbangan dan stigma yang menghalang lelaki daripada mendapatkan rawatan.”

Majlis pelancaran turut menampilkan sesi perbincangan panel bertajuk ‘The Turning 40s Wake-Up Call: Starting Conversations About Prostate Health Early’, yang menekankan kepentingan pengesanan awal serta peranan farmasi dan organisasi komuniti dalam merapatkan jurang kesedaran kesihatan.

Saringan di bawah Project Blue Dot akan disediakan di cawangan terpilih BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy di Lembah Klang mulai 15 November 2025 hingga 11 Januari 2026. Lelaki berusia 45 tahun ke atas, khususnya daripada komuniti B40 atau yang mempunyai sejarah keluarga kanser prostat, digalakkan untuk menyertai.

CATEGORIES
Share This